Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pihak polis telah mematuhi semua prosedur penahanan lima pemimpin Hindraf, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Negara, Tan Abdul Gani Patail menegaskan demikian dalam hujahnya kepada mahkamah yang mendengar permohonan habeas corpus oleh kelima-lima pemimpin Hindraf tersebut.

Mahkamah penuh sesak apabila Abdul Gani menyambung hujahnya hari ini.

Semalam, peguam utama, Karpal Singh berhujah bahawa penahanan mereka tidak mematuhi prosedur mengikut peruntukan dalam Seksyen 8 dan 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kelima mereka - P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabathirau dan T Vasanthakumar - ditahan secara terus mengikut 8(1) ISA pada 13 Disember tahun lalu atas arahan Abdullah.

Ekoran itu, katanya, para tahanan telah dinafikan inkuiri mengikut Seksyen 73 yang menetapkan tempoh tidak melebihi 60 hari untuk siasatan, termasuk hak pemohon untuk membela diri.

Menurut Karpal, Seksyen 8(1) tidak mempunyai peruntukan untuk membuat tangkapan dan hanya memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk mengeluarkan arahan penahanan.

Beliau hujah, itu merupakan satu kecacatan yang membatalkan tangkapan awal dan penahanan yang berterusan.

Beban bukti

Bagaimanapun, Peguam Negara berkata, tangkapan itu dibuat untuk membolehkanan penahanan dibuat dan bukan untuk tujuan inkuiri mengikut Seksyen 73.

“Tidak ada isu sama ada sebab tangkapan itu kabur atau tidak mencukupi kerana tangkapan itu bukan dibuat mengikut Seksyen 73,” katanya.

Menurutnya lagi, pemohon perlu membuktikan wujudnya niat jahat di pihak Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Walaupun begitu, katanya, mahkamah hanya perlu melihat soal prosedur dan bukannya keputusan menteri berkenaan.

Karpal pula memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk menjawab hujah tersebut dan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz menetapkan kes itu disambung Isnin depan.

Kelima-lima pemimpin Hindraf itu ditahan di bawah ISA selepas mereka menganjurkan bantahan yang disertai 30,000 orang di bandaraya Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Ini diikuti dengan pemimpin dan penyokong Hindraf didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut, melakukan khianat dan menghadiri perhimpunan haram.

Pada 13 Disember, kelima-lima mereka ditangkap di bawah ISA selepas kerajaan mengaitkan pergerakan itu dengan kumpulan pengganas di luar negeri.

Semalam, seorang daripada lima pemimpin yang ditahan itu - P Uthayakumar - dimasukkan ke hospital Taiping kerana kekurangan air dalam badan selepas menyertai mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting. Berita asal