KOLUM | Meruntuhkan tembok kapitalis
KOLUM | “Kau sedar tak Amin, betapa besarnya rahmat buat rakyat Malaysia apabila Piala Dunia ni tayang kat RTM?” sengaja aku lontarkan soalan itu kepada Amin Landak.
Amin merupakan kartunis tempatan yang garis-garis penanya cukup kritikal menelanjangkan catur politik penguasa di samping sentiasa tajam menyindir realiti hidup.
Malam itu kami memilih kedai mamak di Wangsa Maju untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di antara Sepanyol dan Argentina.
Skrin televisyen gergasi di hadapan premis itu memancarkan aksi yang baru sahaja memasuki babak kedua.
Amin menyedut teh aisnya perlahan-lahan. Matanya melirik ke arah pergerakan bola di skrin sebelum berpaling memandang aku dengan senyuman yang cukup bermakna.
“Memang rahmat besar, bro,” balas Amin, “anney kat sini tak payah pening kepala kena serbu dengan ejen penyiaran berbayar sebab tak mampu bayar yuran komersial ribuan ringgit sebulan.
“Kita rakyat kat bawah ni pun,” sambung Amin lagi, “tak payah ikat perut nak bayar bil setiap bulan semata-mata nak bagi anak tengok bola. Semua dapat tengok percuma.”
Namun secara jujurnya, aku sendiri merasakan keputusan kerajaan menyiarkan keseluruhan kejohanan Piala Dunia 2026 secara free-to-air (FTA) menerusi RTM serta platform digital RTMKlik adalah kemenangan moral yang besar buat rakyat.
Limpahan rezeki untuk semua
Selama lebih dua dekad, hak penyiaran sukan terbesar dunia itu dipagari oleh tembok eksklusiviti penyiaran berbayar.
Bagi golongan berada, pakej tambahan ratusan ringgit sebulan mungkin sekadar angka kecil. Namun bagi keluarga marhaen, ia adalah satu bentuk beban kewangan yang kerap memaksa mereka membuat pilihan pahit.
Apabila RTM mengambil alih peranan itu menerusi dana tajaan korporat, impak sosialnya serta-merta terasa di peringkat akar umbi.
Ia memulangkan semula fungsi ruang tamu rumah-rumah PPRT dan kampung pedalaman. Bapa-bapa tidak lagi perlu berasa kerdil di hadapan anak-anak kerana tidak mampu menyediakan akses siaran sukan.

Anak-anak muda pula tidak perlu lagi merempat di luar sehingga larut malam semata-mata nak menumpang skrin di premis perniagaan.
Malah, ekosistem ekonomi mikro di sekitar lokasi tumpuan – daripada peniaga burger, penjaja air tin, hinggalah kedai makan kecil – turut merasai limpahan rezeki tanpa perlu diburu rasa takut terhadap tindakan undang-undang hak cipta komersial.
Dari sudut ini, ia memang satu rahmat sosial yang tulen.
Namun, pandangan Amin tadi seperti mengembalikan ingatan aku kepada perkara yang pernah aku sentuh dalam kolum sebelum ini – tentang bagaimana hiburan skala besar kerap menjadi penawar sementara (eskapisme) yang melalaikan kita seketika daripada realiti harian.
Dicengkam banyak dekad
Rangkaian bekalan makanan dunia masih terancam, harga bahan mentah domestik terus mencabar ketahanan dompet, sementara inflasi perlahan-lahan mengikis kuasa beli marhaen.
Di sinilah letaknya ironi tersebut. Apabila kejohanan sebesar Piala Dunia dibawakan terus kepada rakyat secara percuma, ia berfungsi sebagai dua mata pada sebilah pedang.
Ia adalah kebajikan sosial yang meringankan beban kewangan, tetapi pada masa yang sama, ia menjadi terapi sementara yang sangat ampuh. Selagi kita ralit bersorak untuk pasukan kegemaran, selagi itulah kebingitan isu ekonomi tempatan dapat ditenggelamkan seketika.
Namun dari satu sudut yang berbeza, peristiwa itu membuka satu lagi hakikat penting tentang landskap sosiopolitik tanah air. Siapa kata keberanian rakyat untuk menukar kepimpinan atau arah tuju politik negara tidak membawa sebarang hasil?
Apa yang berlaku itulah antara bukti nyatanya.

Apabila barisan kepimpinan baru mempunyai tekad politik (political will) yang jelas untuk meletakkan kepentingan awam di hadapan, tembok monopoli hak penyiaran yang dicengkam entiti kapitalis selama berdekad-dekad akhirnya mampu digoyahkan.
Ia membuktikan bahawa kuasa pasaran dan kebiasaan lama sebenarnya boleh dirombak jika ada tekad pentadbiran yang berani menembus tradisi.
Langkah itu juga membuka mata masyarakat bahawa platform awam milik negara sebenarnya berupaya menawarkan kualiti siaran yang setara tanpa perlu memaksa marhaen tunduk kepada kontrak penyiaran berbayar yang menjerat.
Malah, kejayaan RTM mengendalikan lonjakan trafik digital sepanjang Piala Dunia nampaknya mula membuka selera baru buat pentadbiran negara.
Rahmat yang perlu diraikan
Dalam perkembangan terbaru, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan RTM bakal mengumumkan pengambilalihan hak penyiaran untuk beberapa lagi acara sukan bertaraf dunia selepas penilaian kejayaan Piala Dunia 2026.
Sama ada ia kejohanan bola sepak, kejohanan badminton, atau mungkin saingan kelab elit seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL), satu perkara kini menjadi sangat jelas: kerajaan telah menemui formula yang sangat berkesan untuk memenangi hati rakyat menerusi sukan.
Malah di sudut yang lain, kehadiran Piala Dunia secara percuma itu sekurang-kurangnya menjadi penawar duka sementara buat pencinta bola sepak tempatan.
Ia membolehkan rakyat mengalihkan pandangan dan melupakan sejenak kekecewaan terhadap skandal pemain warisan palsu yang membelenggu serta mencemarkan integriti bola sepak tanah air.
Buat seketika, kita dapat melupakan kemelut domestik dengan menyaksikan bola sepak kelas tertinggi di pentas dunia.
Perlawanan di skrin gergasi akhirnya menuju ke minit terakhir. Wisel penamat ditiup dan pasukan Sepanyol gah menjulang piala yang menjadi idaman setiap manusia di atas muka bumi ini.

Di kedai mamak itu, sorakan penonton perlahan-lahan reda kemudiannya. Orang ramai mula bangun, meraba-raba poket mencari dompet dan bersedia untuk membayar makanan serta minuman masing-masing sebelum melangkah pulang.
Aku memandang Amin semula. Dia cuma tersenyum kecil sambil mengangguk.
Bola sepak sentiasa menjadi sukan rakyat yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat. Kehadiran siaran percuma menerusi RTM adalah satu rahmat yang wajar dirayakan oleh setiap marhaen di negara ini.
Namun, sebagai manusia yang peka dan celik, kita tidak boleh membiarkan diri kita hanyut sepenuhnya dalam kelekaan.
Nikmatilah setiap detik magis lebih 90 minit di atas padang dengan penuh ghairah. Raikanlah kebersamaan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Apabila skrin TV kembali gelap, pastikan mata dan minda kita kembali segar untuk berdepan dengan realiti hidup yang tidak selamanya indah atau manis.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/430b1b4e2e44c07546fce30ac69a64e2.jpg)
