KOLUM | Dengan teliti saya memerhatikan perubahan politik yang sedang berlaku di Eropah. Satu demi satu negara menyaksikan kebangkitan garis politik kanan yang mengancam pengaruh kiri progresif.

Negara Nordic — Sweden, Denmark, Norway dan Finland — yang sering dijadikan contoh kejayaan demokrasi liberal juga berdepan tekanan politik kanan.

Ketika saya menggarap tulisan ini, Sweden yang baru mengadakan pilihan raya masih bergelut untuk membentuk kerajaan.

Pemimpin pembangkang berhaluan tengah-kiri, Magdalena Andersson, mengumumkan pada 28 September 2026 bahawa dia tidak dapat membentuk kerajaan susulan kemenangan tipis bloknya dalam pilihan raya umum 13 September lalu.

Photos of deportation session Myanmar refugees via Home Ministry September 29th 2026 290926

Beri perhatian: blok tengah-kiri memperoleh 176 kerusi berbanding 173 kerusi blok kanan yang sebelum itu berkuasa.

Majoriti tiga kerusi tidak menjamin kesepakatan dalam kem pemenang. Perpecahan antara parti sekutu menggagalkan percubaan awal Andersson membentuk kerajaan. Pada 2 Oktober, dia diberikan peluang kedua untuk mendapatkan sokongan.

Blok kiri menang, tetapi masih bergelut untuk memerintah. Kemenangan di peti undi belum tentu menjamin keupayaan membentuk kerajaan.

Finland dan Sweden pula meninggalkan dasar tidak bersekutu ketenteraan dengan menyertai Nato, masing-masing pada 4 April 2023 dan 7 Mac 2024.

Photos of deportation session Myanmar refugees via Home Ministry September 29th 2026 290926

Dua negara yang terkenal dengan amalan demokrasi ini menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara selepas tentera Rusia menceroboh Ukraine pada 24 Februari 2022.

Menjadi anggota Nato bererti menyertai pakatan pertahanan bersama negara seperti Perancis, Itali, Turki, UK, Jerman dan Amerika Syarikat.

Pada hemat saya, penyertaan ini memperlihatkan perubahan dasar keselamatan yang mendasar. Namun, perubahan itu tidak dengan sendirinya bererti kedua-dua negara telah meninggalkan demokrasi liberal.

Jangan salah baca dan salah tafsir. Penyertaan dalam Nato bukan berlaku secara tiba-tiba. Perubahan pemahaman dan kesedaran politik dalam kalangan warga telah menyediakan ruang untuk kerajaan mengambil langkah tersebut.

Photos of deportation session Myanmar refugees via Home Ministry September 29th 2026 290926

Ancaman keselamatan mengubah pertimbangan politik. Dasar yang dipertahankan selama puluhan tahun boleh berubah apabila warga melihat dunia di sekeliling mereka turut berubah.

Dalam masa yang sama, garis politik kiri semakin dicabar. Suatu ketika dahulu, Parti Komunis Itali dan Parti Sosialis Itali cukup berpengaruh. Kini, pengaruh itu telah tumpul.

Di Perancis, parti kiri dan gerakan kesatuan sekerja masih mempunyai pengaruh. Tetapi mereka berdepan cabaran daripada politik kanan populis, termasuk parti National Rally yang dikaitkan dengan Marine Le Pen.

Kita lihat dan tunggu pilihan raya presiden Perancis pada 2027. Pengundi akan menentukan sejauh mana gelombang kanan mampu menguasai negara itu.

Mustafar Ali immigration operation plaza lowyat 170517 kinilens lensakini

Ombak politik kanan telah lama berlabuh. Sejak Kesatuan Soviet runtuh pada 1991, politik kanan semakin menonjol sebagai salah satu arus yang mencabar pengaruh kiri.

Parti kanan di Eropah dan di tempat lain bergerak dengan pendekatan populis. Mereka memainkan sentimen nasionalisme dan mendakwa membawa suara rakyat biasa.

Salah satu terasnya ialah sentimen antielit: penentangan terhadap golongan pemerintah, elit politik dan elit ekonomi yang dianggap mengabaikan rakyat jelata.

Sentimen ini dibancuh dengan nasionalisme baru, kemudian dikahwinkan dengan konservatisme sosial dan nasionalisme ekonomi.

Sebahagian gerakan ini menentang hak LGBT serta berjanji mempertahankan identiti budaya dan kepentingan ekonomi negara daripada ancaman yang didakwa datang dari luar.

Di Amerika, sebahagian politik kanan mendapat sokongan kuat daripada gerakan Kristian kanan. Antaranya melalui kempen menentang pengguguran, yang mereka kaitkan dengan pegangan agama.

Penyokong garis kanan melihat elit politik dan ekonomi telah meninggalkan kepentingan mereka — rakyat biasa.

Dalam gerakan Make America Great Again (Maga) yang menyokong Presiden Donald Trump, perasaan terpinggir dan ketinggalan di negara sendiri menjadi bahan bakar politik.

Jangan lupa, ketika berkempen Trump berjanji: “Drain the swamp!”

Ini slogan antielit.

“Drain the swamp”, atau “mengeringkan paya”, merujuk kepada janji membersihkan Washington daripada rasuah, pengaruh pelobi dan kelompok berkepentingan.

FILE PHOTO: U.S. President Donald Trump gestures as he speaks during a rally to contest the certification of the 2020 U.S. presidential election results by the U.S. Congress, in Washington, U.S, January 6, 2021. REUTERS/Jim Bourg/File Photo

Jika kita meneliti dasar parti Alternative für Deutschland (AfD), atau Alternatif untuk Jerman, sentimen antielit dan nasionalisme baharu turut menjadi kemudi perjuangannya.

Jerman, kuasa industri utama Eropah, berdepan tekanan ekonomi dan industri. Penutupan kilang serta kehilangan pekerjaan memberikan ruang kepada parti kanan menawarkan jawapan yang mudah dan tegas.

Kerajaan Canselor Friedrich Merz, yang diterajui gabungan Kesatuan Demokrat Kristian (CDU), Kesatuan Sosial Kristian (CSU) dan Parti Sosial Demokrat (SPD), menyokong Ukraine dalam menghadapi Rusia.

Perang dan perubahan hubungan tenaga dengan Rusia menjadi sebahagian daripada perdebatan mengenai daya saing industri Jerman.

Di sinilah AfD masuk dengan semangat dan slogan nasionalisme baharu: dahulukan Jerman daripada Ukraine. Pulihkan hubungan ekonomi dengan Rusia. Dapatkan semula bekalan tenaga yang lebih murah.

Bagi penyokongnya, garis ini masuk akal. Ia menawarkan jawapan kepada keresahan ekonomi sambil mencabar parti arus perdana yang memerintah.

Pada pandangan saya, kekecewaan terhadap demokrasi liberal turut membuka ruang kepada apa yang disebut nativisme.

Nativisme ialah gagasan politik yang mengutamakan kelompok yang dianggap penduduk asal atau warga tempatan berbanding pendatang.

Saya melihat persamaan tertentu antara gagasan ini dengan politik keutamaan Bumiputera di Malaysia. Namun, kedua-duanya lahir daripada sejarah dan kerangka yang berbeza.

Jika merujuk kepada Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, dasarnya berteraskan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Photos of deportation session Myanmar refugees via Home Ministry September 29th 2026 290926

Perbandingan yang saya buat ialah tentang cara identiti kelompok tempatan digunakan untuk menuntut perlindungan dan keutamaan ekonomi.

Dalam bahasa polemik, saya menyebutnya kesedaran “Bumiputera Mat Salleh”.

Selepas Perang Dunia Kedua, banyak negara Eropah memerlukan tenaga kerja untuk membina semula ekonomi yang hancur. Migrasi menjadi sebahagian daripada proses tersebut.

Di Tanah Melayu pula, kedatangan buruh dari India dan China berkait rapat dengan keperluan ekonomi penjajah British.

Ketika kilang memerlukan tenaga kerja, pendatang dilihat sebagai penyumbang kepada pertumbuhan. Tetapi apabila ekonomi lembap dan pekerjaan semakin sukar diperoleh, pandangan itu boleh berubah.

Dari sinilah parti kanan membawa hujah bahawa dasar membuka pintu kepada pendatang merupakan kesilapan besar.

Pendatang, migran dan pelarian perang dijadikan sasaran. Mereka dipersalahkan atas tekanan terhadap pekerjaan, perumahan dan perkhidmatan awam.

Di UK, retorik antipendatang menggambarkan mereka sebagai beban kepada dana awam. Bantuan penginapan dan sara hidup kepada pencari suaka dijadikan bahan kempen.

Malah, ada retorik yang menggambarkan pendatang sebagai kotor dan tidak bertamadun. Kata-kata yang merendahkan maruah manusia ini membantu menyalurkan keresahan ekonomi kepada kebencian terhadap kelompok tertentu.

Semua ini menguatkan tanggapan bahawa negara mereka telah berubah dan sedang diambil alih oleh orang luar.

Di UK, Parti Buruh yang memerintah dituduh terlalu berlembut terhadap pendatang. Tuduhan ini menjadi antara inti pati kempen Reform UK yang berhaluan kanan.

Di Amerika, penahanan dan penghantaran pulang migran tanpa dokumen menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan Trump. Penghantaran ke negara ketiga turut menjadi pertikaian.

Kerajaan Konservatif UK pernah merancang menghantar pencari suaka ke Rwanda. Namun, skim penghantaran paksa itu tidak dilaksanakan sebelum dibatalkan selepas Parti Buruh mengambil alih kerajaan pada Julai 2024.

Australia pula mempunyai aturan pemprosesan luar pesisir di Nauru. Pada 2025, kedua-dua negara turut memeterai perjanjian berasingan untuk membolehkan penempatan jangka panjang individu tertentu yang tidak lagi mempunyai hak sah tinggal di Australia.

Dasar-dasar ini berbeza, tetapi memperlihatkan tekanan politik yang sama: kerajaan mahu menunjukkan bahawa mereka mampu mengawal sempadan dan menentukan siapa yang boleh tinggal.

Pada hemat saya, semua ini memperlihatkan kegagalan demokrasi liberal menjawab keresahan sebahagian rakyat. Ruang yang ditinggalkan itu diisi oleh politik kanan.

Garis kanan sedang mengombak dan mengampuh. Parti yang mahu menentangnya perlu menjawab keresahan rakyat, bukan sekadar mengecam slogan lawan.

Justeru, saya tidak hairan apabila hampir 1,500 warga Myanmar dihantar pulang dari Malaysia minggu ini, meskipun langkah itu menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

Photos of deportation session Myanmar refugees via Home Ministry September 29th 2026 290926

Kerajaan menyifatkan penghantaran itu sebagai sukarela, tetapi perkara tersebut belum disahkan secara bebas. Tidak jelas sama ada terdapat Rohingya dalam kumpulan berkenaan.

Langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu menjadi berita antarabangsa.

Malaysia terus menjadi tempat berlindung dan mencari rezeki bagi pelarian serta migran. Namun, pelarian, pencari suaka dan migran tanpa dokumen bukan kelompok yang seragam. Keadaan dan risiko yang mereka hadapi juga berbeza.

Bagi saya, tekanan untuk menghantar mereka pulang memperlihatkan bagaimana arus politik yang mengutamakan sempadan dan sentimen antipendatang turut mendapat ruang di Malaysia.

Apa akan terjadi kepada Rohingya dan migran lain selepas ini?

Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.