KOLUM | Aku memang peminat karya Allahyarham Mamat Khalid.

Ada sebuah filem yang mungkin kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai, namun di mata aku, ia sarat dengan sindiran, mesej dan makna yang mendalam. Filem itu bertajuk Amir dan Loqman Pergi Ke Laut.

Secara luaran, ia mungkin dianggap sebagai sebuah komedi santai tentang dua penjenayah cap ayam yang lurus – jenis manusia yang buat jahat pun sentiasa serba tak menjadi.

Namun di sebalik segala macam babak mengarut, filem itu menyentuh satu naluri paling asas dalam jiwa manusia: keinginan untuk kembali ke pangkal jalan.

Sudah tentu pintu taubat buat Amir dan Loqman tidak mudah ditembusi apabila leher mereka dicengkam rapat dunia kongsi gelap.

Pada pengakhiran filem, selepas melalui segala gelombang krisis dan kebodohan, dua sahabat itu akhirnya berdiri di pesisir pantai. Mereka bebas daripada bayang-bayang dunia gelap dan bersedia membina semula kehidupan dari kosong.

Menariknya, aku seolah-olah berjumpa sambungan filem itu dalam dunia nyata apabila berkenalan dengan dua anak muda – Amin dan Lukman.

Ejaan nama mereka berbeza sedikit sahaja dengan watak filem, tapi takdir mereka seolah-olah hampir dan berkait.

Olah sampah jadi berfaedah

Perbezaan yang ketara cumalah, Amir dan Loqman ialah watak dalam filem mengenai orang yang tidak berapa cerdik, tetapi Amin dan Lukman merupakan pemuda terpelajar yang mempunyai idealisme serta visi jelas tentang hidup dan persekitaran mereka.

Jika Amir dan Loqman lari ke laut untuk menyelamatkan diri daripada denda potong jari kongsi gelap, Amin dan Lukman pula memilih pergi ke laut demi membina impian lestari di Pulau Perhentian.

Dua sahabat sejak zaman sekolah itu mengambil keputusan berani meninggalkan kebiasaan di tanah besar demi membina penginapan yang menawarkan pengalaman sebenar hidup bersama alam.

Diberi nama Juita Glamping, mereka memilih struktur khemah sebagai kediaman pengunjung, mengusahakan kebun sendiri untuk makanan segar serta membina jungle gym di celah pepohonan asal.

Lebih menarik, fikiran dua anak muda itu sentiasa ligat memikirkan idea kreatif, termasuk merangka projek pengurusan sisa plastik komuniti untuk mengolah sampah di pulau itu agar menjadi barangan berguna.

Melihat keberanian dan idealisme anak muda seperti mereka itu, sukar untuk aku tidak berasa kagum.

Nur Hadi Mohamad kolum pulau perhentian alam sekitar 061026

Mereka betul-betul menemui kebebasan di tepi laut. Namun, ketenangan yang dibina tidak bertahan lama apabila ombak tenang Pulau Perhentian diancam gelombang ketamakan pemodal.

Bulan lalu, apabila Amin dan Lukman menjemput aku dan beberapa aktivis bertandang ke tapak glamping mereka, barulah mata aku terbeliak melihat realiti ekokemusnahan di lapangan.

Di pulau peranginan terkenal itu sedang rancak berjalan sebuah projek pembinaan resort mewah atas air.

Caranya gila dan rakus. Batuan pantai dikorek, pasir dasar laut digali dan ditambun untuk meluaskan daratan buatan. Muka bumi asal benteng pantai hancur sekelip mata, melepaskan sedimen lumpur yang mencekik terumbu karang sekelilingnya.

Itu belum kira satu lagi syarikat gergasi pelancongan di situ. Resort ratusan bilik itu mula menimbulkan keresahan dalam kalangan pengusaha kecil dan komuniti tempatan.

Isu utama yang menjadi buah mulut ialah sistem pembentungan yang didakwa teruk sehingga tular klip video pelepasan sisa cecair keruh terus ke laut melalui paip bawah jeti.

Cabaran birokrasi, kuasa wang

Satu ironi menyakitkan hati: kawasan Taman Laut Terpelihara – tempat penyu bertelur dan karang membiak – dijadikan ‘loji’ sisa kumbahan demi mengejar bintang kemewahan perhotelan.

Di situlah kita melihat betapa ‘padang permainan’ di negara ini tidak rata. Pengusaha kecil seperti Amin dan Lukman terpaksa patuh setiap inci undang-undang, berhempas-pulas memastikan jejak karbon sekecil mungkin.

Sebaliknya, pemodal gergasi bersenjatakan jutaan ringgit, kabel politik dan ‘berpayung’ seolah-olah mendapat lesen besar untuk melakukan apa sahaja.

Mereka datang menarah bukit, mengorek dasar laut, melepaskan sisa kumbahan, kemudian mengira keuntungan dari pejabat berhawa dingin.

Sambil ditiup deruan angin petang di sebuah warung tepi pantai, Amin dan Lukman membawa aku bertemu seorang otai tempatan yang juga pengusaha pusat peranginan setempat.

Di sebalik cawan kopi yang makin dingin, raut wajah orang tua itu menceritakan beban berat yang bertahun-tahun ditanggung. Perbualan petang itu membuka satu demi satu tabir gelap tentang desas-desus kemasukan projek gergasi baru.

Orang lama di sini bukannya buta terhadap kerosakan yang berlaku, tetapi keupayaan komuniti atau persatuan setempat selalunya 'lemas' apabila berdepan dengan helah birokrasi dan kuasa wang.

Nur Hadi Mohamad kolum pulau perhentian alam sekitar 061026

Di sinilah aku dapat menyaksikan penyatuan dua generasi. Orang lama membawa nilai sejarah dan kearifan tempatan, manakala anak muda seperti Amin dan Lukman memikul tenaga, fleksibiliti dan idealisme.

Apabila aku mengutarakan kesediaan Amin dan Lukman menyertai persatuan secara aktif, senyuman orang tua itu menceritakan segalanya. Kumpulan pendesak (pressure group) akar umbi baru sedang dibentuk di pulau itu.

Perjuangan itu tidak boleh bergantung kepada emosi semata-mata. Ia memerlukan taktik dan strategi yang ampuh. Langkah awal yang aku cadangkan ialah melancarkan 'perang birokrasi' menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa).

Di mata orang awam, Sispaa mungkin sekadar borang aduan dalam talian. Tetapi dalam selok-belok pentadbiran, ia adalah sistem rasmi yang mengikat Jabatan Alam Sekitar (JAS) mahupun majlis daerah dengan indeks petunjuk prestasi (KPI) serta nombor rujukan khas yang tidak boleh dipadam.

Setiap aduan wajib dijawab secara rasmi. Jika pihak berkuasa memilih untuk berpeluk tubuh atau melengah-lengahkan tindakan, nombor tiket aduan itu bertukar menjadi bukti digital yang sah di mahkamah.

Mesti lahir daripada komuniti

Kerosakan, pencerobohan dan salah laku telah dilaporkan, tetapi sengaja dibiarkan tanpa tindakan pihak berkuasa.

Selain itu, konsep sukarelawan di Juita Glamping perlu diangkat ke aras baru – bukan sekadar mengurus restoran dan mengemas khemah, tetapi bertindak sebagai ‘sahabat’ pemantau alam.

Para sukarelawan boleh dilatih untuk merekodkan kualiti air dan memetakan kerosakan terumbu karang di sekitar pulau secara berkala.

Pada masa sama, aku mengesyorkan mereka dilatih merekod serta meletakkan papan label nama spesies pokok-pokok yang ada sepanjang laluan merentas denai di Pulau Perhentian.

Ini bukan sahaja membuka produk pelancongan mesra alam yang baru dan berpendidikan untuk pengunjung, malah data pemetaan flora dan laut ini menjadi perisai fakta bahawa Juita Glamping jujur menjaga pulau, bukannya sekadar acah-acah mesra alam demi gimik pemasaran.

Untuk menjayakan semua ini, Amin dan Lukman tidak boleh bergerak bersendirian. Namun, itu tidak bermakna NGO luar harus mengambil alih garisan hadapan.

Nur Hadi Mohamad kolum pulau perhentian alam sekitar 061026

Peranan NGO alam sekitar sedia ada adalah bersifat bimbingan (guidance) – memberi nasihat teknikal, kepakaran dan sokongan moral.

Benteng utama dan suara paling lantang tetap wajib lahir dari jiwa komuniti serta pengusaha tempatan sendiri untuk memecahkan tembok pengasingan agar pemodal gergasi tidak bermaharajalela tanpa tentangan.

Sejarah gerakan perubahan tidak pernah ditulis oleh mereka yang pasrah. Suara dan sifat tidak betah anak muda sentiasa menjadi pemangkin utama melawan ketidakadilan.

Watak Amir dan Loqman dalam filem Mamat Khalid dulu mungkin sekadar mahu pergi ke laut untuk melarikan diri dan menyelamatkan perut sendiri.

Namun, Amin dan Lukman yang aku kenal di Pulau Perhentian hari ini telah memilih untuk pergi ke laut demi misi yang jauh lebih mulia.

Dua anak muda itu aku harapkan dapat berdiri teguh di pesisir pantai bersama komuniti tempatan menjadi benteng terakhir mempertahankan keindahan hutan, pasir, karang dan laut mereka daripada terus dijarah oleh pemodal yang rakus.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.