KOLUM | Saya baru saja keluar dari Sunway Medical Centre (SMC) di Bandar Sunway selepas menjalani pembedahan. Sebagai warga emas yang jarang mendapatkan rawatan di hospital di tanah air sendiri, pengalaman itu membuatkan saya berfikir panjang.

Bukan saja tentang kesihatan, tetapi juga sistem hospital dan perbezaan antara negara.

SMC bukan hospital kecil. Ia mempunyai 810 katil berlesen dan lebih 300 pakar perunding. Hospital itu juga menduduki tempat teratas di Malaysia dalam senarai World's Best Hospitals 2026 oleh Newsweek.

Angka dan pengiktirafan itu memberikan keyakinan, tetapi turut mengundang persoalan: bagaimana kedudukan hospital kita jika dibandingkan dengan negara lain yang pernah saya diami?

Saya pernah tinggal di New Zealand, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Saya juga pernah melawat rakan yang dirawat di hospital di beberapa negara lain. Berdasarkan pengalaman itu, saya cuba melihat perbezaan sistem hospital awam dan swasta di tiga negara yang dekat dengan perjalanan hidup saya: Malaysia, New Zealand dan UAE.

Di Malaysia, saya jarang dimasukkan ke hospital. Ketika menuntut di New Zealand, saya hanya sesekala berurusan dengan hospital. Di Arab Saudi pula, sepanjang hampir setahun menetap di Riyadh, saya tidak pernah sekali pun masuk hospital.

UAE memberikan pengalaman berbeza. Sepanjang kira-kira 20 tahun menetap di sana, beberapa kali saya mendapatkan rawatan di hospital. Ketika bekerja dalam dunia korporat, saya dirawat di hospital swasta yang mewah.

Kemudian, selepas menjadi usahawan, saya lebih kerap mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Dua pengalaman berbeza dalam sebuah negara mengajar saya satu perkara: hospital di negara yang sama boleh menawarkan pengalaman yang seolah-olah datang dari dua dunia berbeza dan ia bergantung kepada ‘pintu’ yang kita masuki.

Kecederaan dilindungi agensi

Saya juga pernah melawat rakan yang sakit di hospital di UK, AS, Eropah dan beberapa negara lain. Sebagai pelawat, saya berpeluang melihat sendiri suasana hospital dan perbezaan kemudahan serta layanan antara negara.

Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa kekayaan sesebuah negara tidak semestinya menjamin keadilan dalam penjagaan kesihatan. UK misalnya, menyediakan rawatan melalui Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai cukai, dengan kebanyakan rawatan hospital tidak dikenakan bayaran ketika menerima perkhidmatan.

AS pula mempunyai hospital yang sangat canggih tetapi sistemnya banyak bergantung kepada insurans dan kos rawatan boleh menjadi amat tinggi. Di negara yang lebih miskin, cabarannya mungkin lebih asas, termasuk kekurangan katil, peralatan dan tenaga pakar.

Ketiga-tiga negara mempunyai pendekatan tersendiri untuk menjawab satu persoalan: siapa yang menanggung kos apabila seseorang jatuh sakit.

Di New Zealand, hospital awam menjadi tulang belakang sistem kesihatan. Sistem itu dibiayai terutamanya melalui cukai dan diuruskan oleh Health New Zealand. Penduduk yang layak boleh mendapatkan rawatan hospital awam tanpa bayaran langsung bagi kebanyakan perkhidmatan yang dilindungi.

Kecederaan akibat kemalangan pula dilindungi oleh Accident Compensation Corporation (ACC), tertakluk pada syarat skim tersebut. Perlindungan itu juga boleh meliputi pelawat yang mengalami kemalangan di New Zealand.

Namun, sistem awam turut berdepan cabaran dari segi masa menunggu. Pesakit yang memerlukan pembedahan bukan kecemasan mungkin perlu menunggu berbulan-bulan, bergantung pada jenis rawatan, tahap keutamaan dan kapasiti hospital.

Bagi mereka yang memilih hospital swasta, kos pembedahan boleh mencecah puluhan ribu dolar New Zealand.

UAE pula mempunyai sistem yang banyak bergantung pada insurans kesihatan, dengan peraturan berbeza mengikut emiriah dan kategori penduduk. Warganegara menikmati kemudahan rawatan kerajaan secara percuma atau dengan subsidi, tertakluk pada kelayakan dan peraturan berkaitan.

Ekspatriat pula lazimnya bergantung pada insurans kesihatan yang diwajibkan mengikut peraturan setempat, termasuk perlindungan yang disediakan majikan.

Menguji kesabaran, kemampuan poket

Hospital kerajaan seperti rangkaian SEHA di Abu Dhabi dan kemudahan kesihatan di bawah Dubai Health memainkan peranan penting, sementara hospital swasta menawarkan pelbagai pilihan rawatan kepada pesakit yang mempunyai perlindungan atau kemampuan kewangan.

Kos rawatan swasta boleh berbeza dengan ketara, daripada puluhan ribu hingga ratusan ribu dirham bagi prosedur tertentu yang kompleks.

Malaysia pula mengamalkan sistem dua sektor, iaitu hospital kerajaan – yang menawarkan rawatan pada kadar bersubsidi – dan hospital swasta – lazimnya melalui pembiayaan sendiri atau insurans sukarela.

Hospital kerajaan membolehkan rakyat mendapatkan rawatan pada kos yang rendah, tetapi berdepan tekanan akibat permintaan tinggi dan kesesakan. Hospital swasta pula menawarkan pilihan rawatan yang lebih luas, termasuk bagi kes kompleks, tetapi kosnya boleh menjadi beban kepada pesakit.

Sebagai gambaran tentang nilai ekonomi sektor itu, purata hasil bagi setiap kemasukan wad di hospital kumpulan Sunway Healthcare dilaporkan berjumlah RM12,515 pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun angka berkenaan merujuk kepada hasil purata bagi setiap kemasukan tetapi bukannya semestinya jumlah bil yang dibayar oleh setiap pesakit.

insurance generic 2

Ringkasnya, New Zealand menguji kesabaran, UAE menguji perlindungan insurans, manakala Malaysia menguji kemampuan poket.

Hospital swasta di Malaysia kini bukan lagi menjadi pilihan rakyat tempatan semata-mata. Negara ini semakin menonjol sebagai destinasi pelancongan kesihatan dengan pesakit dari luar negara mendapatkan pelbagai jenis rawatan di sini.

Antara tarikan utama Malaysia ialah kedudukan geografinya, kemudahan perjalanan, persamaan budaya dengan negara jiran, pilihan makanan halal dan kos rawatan yang dianggap berpatutan berbanding beberapa destinasi lain di rantau ini.

Pesakit datang untuk pelbagai keperluan, daripada saringan kesihatan hingga rawatan kanser, penyakit jantung, gastroenterologi dan ortopedik.

Kemanusiaan kadangkala tenggelam

Selain SMC, beberapa institusi perubatan lain turut menjadi tumpuan pesakit antarabangsa, termasuk Island Hospital di Pulau Pinang, Institut Jantung Negara, Mahkota Medical Centre di Melaka dan Subang Jaya Medical Centre.

Institusi berkenaan mempunyai peranan masing-masing dalam usaha Malaysia membangunkan sektor pelancongan kesihatan.

Kerajaan turut meletakkan pelancongan kesihatan sebagai antara bidang yang berpotensi menjana pendapatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri penjagaan kesihatan serantau.

Sasaran pertumbuhan sektor itu perlu dilihat bukan saja dari sudut hasil ekonomi, tetapi juga manfaat yang boleh dikembalikan kepada sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

Sepanjang berada di wad jantung dan wad lain, saya melihat pelbagai lapisan masyarakat. Di SMC, kemudahan dan tahap keselesaan yang ditawarkan berbeza mengikut jenis bilik serta kemampuan pesakit. Namun, dalam urusan rawatan, saya menyaksikan doktor, jururawat dan petugas kesihatan berkhidmat kepada pesakit daripada pelbagai latar belakang.

Melayu, Cina, India, Orang Asli, masyarakat Dayak, Kadazan dan warga asing sama-sama memerlukan perhatian apabila jatuh sakit. Di wad, kesakitan tidak mengenal bangsa atau kedudukan sosial. Pengalaman itu memperlihatkan sisi kemanusiaan yang kadangkala tenggelam dalam perbahasan tentang kaum, kelas dan kekayaan.

Senior Citizen warga emas tua generic old man person hands 010218 1

Ia menyentuh perasaan saya, lebih-lebih lagi sebagai seorang warga emas.

Saya pernah melalui kehidupan dari bawah, meningkat ke tahap sederhana, kemudian ke atas, sebelum kembali ke bawah. Saya mengenali sendiri turun naik kehidupan dan setiap anak tangga dalam hierarki sosial.

Saya bersyukur kerana berpeluang melalui semua pengalaman itu. Saya tidak malu dengan perubahan nasib yang pernah dialami. Sebaliknya, pengalaman tersebut mengajar saya menerima kehidupan dengan lebih terbuka. Dengan rasa syukur itulah saya mahu meneruskan sisa waktu yang masih ada.

Pada pandangan saya, tiada satu pun daripada tiga sistem kesihatan berkenaan yang sempurna. New Zealand menawarkan perlindungan awam yang luas, tetapi pesakit tertentu terpaksa menunggu lama. UAE menyediakan pelbagai pilihan rawatan, tetapi pengalaman pesakit banyak bergantung pada kelayakan dan perlindungan insurans. Malaysia pula menawarkan pilihan antara sektor awam dan swasta, namun jurang dari segi akses, masa menunggu dan kemampuan membayar masih menjadi cabaran.

Pengalaman saya tidak cukup untuk menentukan negara mana yang mempunyai sistem kesihatan terbaik. Namun, ia cukup untuk menyedarkan bahawa kemajuan sesebuah hospital tidak boleh dinilai berdasarkan kecanggihan peralatan, kemewahan bangunan atau jumlah pakar semata-mata.

Keupayaan rakyat mendapatkan rawatan yang diperlukan tanpa terbeban oleh kos juga sama penting.

Persoalan di tanah air

Saya menyokong usaha membangunkan pelancongan kesihatan kerana sektor ini berpotensi membawa pendapatan kepada negara, menggalakkan pelaburan dan menyediakan peluang kepada pakar perubatan untuk berkhidmat di Malaysia.

Jika diurus dengan baik, pertumbuhan hospital swasta juga boleh membantu meningkatkan kepakaran dan mutu rawatan dalam negara.

Namun, kebimbangan saya ialah jika perkembangan sektor swasta berlaku dengan mengorbankan hospital kerajaan. Persaingan mendapatkan pakar dan jururawat boleh menambah tekanan terhadap sistem awam, sementara kos rawatan swasta dan premium insurans pula berisiko terus meningkat.

Bagi warga emas, ia amat membimbangkan kerana keperluan rawatan lazimnya meningkat ketika pendapatan selepas persaraan semakin berkurangan.

Pengalaman di UAE mengingatkan saya tentang pentingnya hospital kerajaan sebagai sandaran apabila keadaan hidup berubah. Seseorang yang hari ini mampu membayar rawatan swasta belum tentu mempunyai kemampuan yang sama beberapa tahun kemudian.

Penyakit, kehilangan pendapatan dan pertambahan usia boleh mengubah kedudukan kewangan seseorang dalam sekelip mata.

Oleh itu, kekuatan hospital swasta tidak wajar dibina dengan melemahkan hospital kerajaan. Kedua-duanya perlu berkembang seiring, dengan dasar yang memastikan kepakaran, tenaga kerja dan sumber kesihatan diagihkan secara mampan.

Jika pelancongan kesihatan menjana hasil yang besar, kerajaan juga wajar mencari mekanisme supaya pertumbuhan itu memberi manfaat kepada sistem kesihatan awam dan rakyat tempatan.

Saya melangkah masuk ke SMC sebagai pesakit, bukan sebagai pemerhati; dan keluar dengan keyakinan terhadap kepakaran serta kemudahan yang tersedia. Namun, pengalaman itu meninggalkan satu persoalan yang lebih besar daripada soal hospital mana yang terbaik.

Ketika hospital Malaysia semakin dikenali di mata dunia, mampukah rakyat sendiri – khususnya warga emas dan golongan berpendapatan sederhana – terus mendapatkan rawatan yang berkualiti apabila mereka benar-benar memerlukannya?


MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.