KOLUM | Saya amat mengalu-alukan satu daripada perkara baik dalam Belanjawan 2027 iaitu semua 9,000 doktor kontrak akan diserapkan ke dalam perkhidmatan awam.

Maka berakhirlah sistem doktor kontrak yang dimulakan pada 2016 semasa pentadbiran Najib Razak selaku perdana menteri dan Dr S Subramaniam sebagai menteri kesihatan.

Setelah empat perdana menteri dan lima menteri kesihatan, barulah isu itu dapat diatasi.

Daripada zaman Najib, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob hinggalah kepada Anwar Ibrahim. Di peringkat menteri pula, ia melibatkan Dr Subramaniam, Dzulkefly Ahmad, Dr Adham Baba, Khairy Jamaluddin, Dr Zaliha Mustafa dan kembali kepada Dzulkefly.

Saya percaya pada setiap tahun, pihak pimpinan kementerian pasti membincangkan perkara tersebut sementara pada masa sama doktor kontrak memberi tekanan supaya isu itu diselesaikan.

Tentunya perkara itu hanya dapat dilakukan apabila kedudukan kewangan negara mengizinkan. Untuk menjayakannya, ia memerlukan penglibatan bukan saja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi juga pihak lain khususnya kementerian kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Namun begitu, masih terdapat lagi isu yang berkaitan dengan doktor dan perlu diselesaikan segera. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang merupakan badan profesional kedoktoran menyebut tentang keperluan kenaikan gaji dan amalan penempatan yang adil.

Tuntutan itu juga akan akhirnya dipenuhi walaupun birokrasi politik dan kerajaan pasti memakan waktu. Sesungguhnya doktor adalah profesion istimewa dan ia bukan saja perlu dihasilkan tetapi juga dipelihara dan ditingkatkan kedudukannya.

Malah bagi saya, tanpa merendahkan kementerian-kementerian lain, KKM adalah kementerian paling penting dalam jentera negara.

Pengaruh luar, dalam negara

Tanpa kesihatan, keberadaan rakyat dan kewujudan negara hilang akan maknanya.

Negara dibentuk untuk rakyat. Maka untuk menjadi “negara rakyat”, perkhidmatan kesihatan awam wajarlah memenuhi keperluan semua rakyatnya, dan ia wajar percuma.

Tetapi tentulah perkara itu sukar dicapai dalam sistem ekonomi global yang meletakkan keuntungan korporat sebagai keutamaan. Paling ketara ialah ubat-ubatan dan peralatan teknologi yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat besar yang mempunyai hak paten walaupun sebahagiannya dibiayai oleh kerajaan mereka melalui dana percukaian awam.

Dalam hal itu, polisi dan inisiatif politik kesihatan mempunyai peranan penting.

Tetapi realitinya semua kerajaan akan datang pasti berdepan dengan isu sistem yang ada hari ini tidak mampan. Lebih banyak penyakit akan muncul dan lebih banyak penemuan berlaku untuk rawatan.

Juga lebih banyak ubat dan prosedur dicipta dengan kos yang terus meningkat. Penduduk juga semakin bertambah.

Maka pasti sistem perkhidmatan kesihatan awam negara semakin tertekan.

Pun begitu ada dua perkembangan yang perlu diambil kira. Kadar kelahiran di seluruh dunia – termasuk Malaysia – semakin berkurang; dan kedua, penciptaan kecerdasan buatan (AI) pasti akan banyak membantu kemajuan perubatan dunia.

Ketika kerajaan memperkenalkan sistem doktor kontrak pada 2016, saya adalah seorang pesakit hospital pakar kerajaan. Sejak adanya sistem itu, saya bukan saja bersimpati terhadap mereka yang terkesan tetapi juga prihatin terhadap keadaan ekosistem perkhidmatan kesihatan negara.

Apa yang dimaksudkan dengan ekosistem perkhidmatan kesihatan negara meliputi semua sudut berkaitannya meliputi hospital awam dan swasta, syarikat-syarikat insurans, dan pembekal ubat.

Juga kolej-kolej kesihatan yang menyediakan latihan kedoktoran, kepakaran, kejururawatan, juru x-ray, pusat-pusat penyelidikan, malah latihan pengurusan dan pentadbiran hospital serta perniagaan dan keusahawanan perkhidmatan kesihatan.

Ekosistem itu juga bukan saja melibatkan perkara-perkara dalam negara bahkan bersifat serantau dan global. Maknanya, tentulah perkhidmatan kesihatan dalam negara dipengaruhi oleh apa yang berlaku di luar negara.

Ia bukan saja ketika ada wabak seperti Covid-19 tetapi juga perkembangan kemajuan kesihatan dunia yang tentu turut melibatkan aspek-aspek geopolitik dan sistem kewangan global.

Ia dipengaruhi kepentingan korporat yang didorongkan oleh keuntungan menjejaskan kepentingan kemanusiaan.

Perbandingan tidak wajar

Saya bersyukur apabila sistem perkhidmatan kesihatan awam negara adalah antara yang terbaik antara negara-negara tidak maju di dunia. Malah saya percaya dalam banyak keadaan, sistem kesihatan awam negara ini lebih baik daripada sebahagian negara maju.

Berdasarkan berita-berita yang saya ikuti, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom sering dikritik. Ada baiknya jika seorang penyelidik membuat tinjauan ke atas semua negara di seluruh dunia untuk mengetahui kedudukan sebenar negara ini dari segi sistem perkhidmatan kesihatan awam.

Sebagai negara maju tentulah Singapura pula mempunyai perkhidmatan kesihatan yang lebih baik. Namun kedua-dua negara beroperasi pada model yang berbeza.

Kerajaan Malaysia membiayai penjagaan kesihatan yang murah kepada penduduk awamnya sementara Singapura menggabungkan subsidi awam dengan simpanan perubatan wajib, insurans dan bayaran individu.

Sememangnya terdapat perbezaan dari segi kualiti doktor dan hospital. Itu jelas kerana doktor di sana mendapat gaji yang tinggi dan hospital ditadbir dengan baik atas peruntukan kerajaan yang memiliki lebih banyak wang.

Tetapi ukuran yang juga penting ialah berapa banyak harus dibayar oleh pesakit, bagaimana cepatnya seseorang pesakit menerima rawatan, bagaimana agihan kakitangan penjagaan kesihatan di seluruh negara dan bagaimana negara membiayai penduduk negara yang semakin menua.

Sememangnya tidak wajar sama sekali membandingkan Singapura dan Malaysia.

Keluasan negara itu memudahkan kerajaannya menguruskan perkhidmatan kesihatan awamnya –seperti jika negara ini hanya menumpukan perhatian kepada Lembah Klang.

Tetapi Lembah Klang menawarkan perkhidmatan kesihatan awam yang lebih baik berbanding kawasan-kawasan luar, lebih-lebih lagi dari segi rawatan kepakaran penyakit kronik seprrti kanser.

Ada warga emas yang memilih bersara di Selangor dan bukan di kampung halaman agar berada dekat dengan pusat rawatan. Mana tidaknya, saya ada bertemu pesakit dari Johor Bahru, Melaka dan Pahang yang bermalam di Kuala Lumpur bagi membolehkan mereka menghadiri janji temu perubatan keesokan harinya.

Namun hakikat bahawa orang kenamaan Malaysia – termasuk bekas perdana menteri – mendapatkan rawatan kanser di Singapura menunjukkan bahawa keupayaan rawatan terutamanya melibatkan teknologi tertentu lebih maju di republik itu.

Beberapa bulan lalu terdapat berita doktor Malaysia termasuk pakar berhijrah ke Singapura untuk mendapatkan gaji yang tinggi. Tentulah “penghijrahan bakat” (brain drain) itu tidak dapat dihalang walaupun ia mengecewakan Malaysia.

Lambakan klinik persendirian

Sememangnya menjadi hak seseorang untuk berhijrah ke negara lain. Bukan saja ke Singapura tetapi juga ke negara lain termasuk Australia dan United Kingdom yang akhirnya ditawarkan menjadi warganegara.

Beberapa tahun lalu ada pihak di Australia menawarkan seorang pakar perubatan berhijrah ke negara itu kerana mereka amat memerlukan kepakatannya.

Pada peringkat awal pakar terbabit menolak kerana dia berasa perlu bersama ibunya yang sudah tua di Malaysia. Maka pihak di Australia itu menawarkan kemudahan supaya ibunya turut dibawa berhijrah bersama.

Apa yang rugi bagi Malaysia ialah jika doktor itu belajar di negara ini atau memperoleh biasiswa kerajaan ketika belajar di luar negeri. Ada antara mereka memperoleh biasiswa kerajaan terutamanya apabila mengikuti pengajian di peringkat pakar.

Mereka belajar dengan biasiswa atau bantuan kerajaan. Kalau belajar di universiti awam, maka institusi itu menggunakan dana, geran atau subsidi kerajaan.

Walaupun pakar berkenaan perlu berkhidmat dalam hospital awam untuk tempoh tertentu, akhirnya mereka akan meninggalkan negara ini juga.

Semasa kerajaan memperkenalkan sistem doktor kontrak, perkiraannya ialah terdapat lebihan doktor berbanding kemampuan kerajaan hendak menyerap dalam perkhidmatan awam.

Adakah terdapat lambakan bilangan doktor pengamal am (GP)?

Ada yang menyebut bahawa terdapat lebihan klinik-klinik persendian hingga ada yang tidak dapat meraih keuntungan. Maka disebut pula bahawa kalau di Lembah Klang kelihatan sudah banyak klinik persendirian.

Bayar lebih sedikit

Tetapi di banyak tempat lain yang masih kekurangan klinik. Maknanya ada masalah pengagihan atau taburan doktor

Ada pula yang berkata, kekurangan negara ini ialah doktor pakar. Lebih-lebih lagi yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Namun yang banyak berhijrah ke sektor swasta itu terdiri daripada kalangan doktor pakar itu jugalah.

Umpamanya di sebuah bandar di luar Lembah Klang, sebaik saja sebuah hospital swasta dibuka, hospital awam kehilangan doktor dan doktor pakar kerana mereka berhijrah ke hospital swasta.

Tentu ia tidak boleh dilhalang kerana setiap doktor dan individu berkaitan berhak untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.

Tetapi pada waktu sama ia mengurangkan peluang rakyat biasa untuk memperoleh rawatan terbaik.

Lebih baik jika dapat diwujudkan satu sektor pertengahan yang berada di antara sektor hospital swasta dan hospital awam. Hospital swasta untuk golongan T20 dan M40 yang mampu membeli insurans, manakala yang lain perlu pergi ke hospital awam.

Ada golongan yang mampu untuk membayar lebih sedikit tetapi tidaklah mampu untuk pergi ke hospital swasta yang sememangnya mengenakan bayaran amat mahal.

Jika ada satu sektor hospital berharga sederhana, maka ia akan mengurangkan beban hospital awam dan pada masa sama rakyat mampu dapat perkhidmatan lebih baik.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.