ULASAN | Keadilan sosial dan kelangsungan politik dari Belanjawan 2027
ULASAN | Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, pada 9 Okt lalu bukan sekadar dokumen kewangan negara. Ia mencerminkan keutamaan kerajaan mengagihkan sumber awam, menangani tekanan ekonomi rakyat dan mengekalkan keyakinan terhadap pentadbiran, khususnya menjelang PRN Melaka pada 14 Nove ini serta PRU ke-16.
Dengan perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), serta kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, kerajaan berusaha mengimbangi perlindungan pendapatan, pertumbuhan ekonomi dan disiplin fiskal.
Namun, persoalan utamanya ialah sama ada langkah ini mampu meningkatkan kesejahteraan isi rumah secara berterusan atau sekadar meredakan tekanan kos sara hidup buat sementara waktu.
Dari perspektif ekonomi politik, keberkesanan belanjawan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan, tetapi siapa yang menerima manfaat, siapa yang menanggung kos pelarasan ekonomi dan sejauh mana pertumbuhan diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial.
Legitimasi kerajaan akhirnya bergantung pada perubahan nyata yang dirasai rakyat, bukan semata-mata pencapaian angka makroekonomi.
Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, dengan defisit fiskal menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Unjuran hasil Persekutuan pula ialah RM380.8 bilion, manakala perbelanjaan mengurus dan pembangunan masing-masing berjumlah RM376.8 bilion dan RM83 bilion.
/file/attachments/orphans/AI1ade2d_642240.png)
Angka itu perlu dinilai bersama kemampuan kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan melindungi golongan rentan. Disiplin fiskal penting, tetapi tidak seharusnya dicapai dengan mengabaikan keperluan rakyat yang paling terkesan oleh tekanan ekonomi.
Peningkatan peruntukan STR dan Sara berpotensi membantu isi rumah menghadapi kos sara hidup. Namun, kecukupan bantuan perlu dinilai berdasarkan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan tanggungan keluarga, termasuk perbezaan kos kehidupan antara kawasan. Bantuan tunai sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah pendapatan rendah yang berpunca daripada struktur ekonomi.
Begitu juga dengan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000. Langkah ini berpotensi meningkatkan pendapatan pekerja, tetapi keberkesanannya bergantung pada penguatkuasaan, liputan pekerja yang terlibat, keupayaan majikan dan pertumbuhan produktiviti.
Pengecualian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana tertentu juga perlu diteliti agar pekerja yang tidak menikmati kadar baru tidak terus ketinggalan.
Justeru, kejayaan belanjawan tidak wajar diukur berdasarkan peningkatan bantuan atau gaji nominal semata-mata. Perubahan pendapatan benar selepas mengambil kira inflasi, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, kemampuan memiliki rumah serta akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti merupakan antara petunjuk yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
/file/attachments/orphans/AI16_432295.png)
Dalam konteks PRN Melaka, yang menurut Suruhanjaya Pilihan Raya melibatkan 687,697 pemilih berdaftar, belanjawan kali ini menjadi latar untuk menilai hubungan antara dasar Persekutuan dengan keperluan setempat.
Namun, keputusan pengundi turut dipengaruhi oleh rekod kerajaan negeri, mutu calon, isu kawasan dan keupayaan parti menawarkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan.
Bagi PH dan BN, cabarannya ialah mendapatkan pengiktirafan pengundi tanpa mengaburkan pembahagian tanggungjawab. Pengundi perlu dapat membezakan pihak yang menggubal dasar nasional dengan pihak yang mengurus pentadbiran negeri dan menyelesaikan masalah tempatan.
PN dan parti pembangkang lain pula mempunyai ruang untuk mempersoalkan kecukupan bantuan, keadilan pengagihan pembangunan dan kemampanan fiskal. Namun, kritikan akan lebih meyakinkan jika disertai alternatif yang jelas dari segi sumber pembiayaan, kumpulan sasaran dan kesannya terhadap kewangan negara serta perkhidmatan awam.
Oleh itu, PRN Melaka bukan sekadar persaingan parti, tetapi juga peluang untuk menuntut akauntabiliti berkaitan pekerjaan dan upah, perumahan, pengangkutan, pengurusan pihak berkuasa tempatan serta peluang ekonomi.
Belanjawan Persekutuan bagaimanapun bukan penentu tunggal keputusan pilihan raya kerana faktor calon, jentera parti dan isu negeri turut memainkan peranan.

Kerjasama PH–BN di peringkat Persekutuan juga tidak menghapuskan persaingan antara kedua-duanya. Kedua-dua parti perlu mempertahankan identiti masing-masing sambil berkongsi tanggungjawab terhadap dasar kerajaan.
Dalam keadaan ini, kejelasan pembahagian tugas dan bukti keberkesanan pentadbiran menjadi penting untuk mengekalkan keyakinan pengundi.
Menjelang PRU ke-16, Belanjawan 2027 akan menjadi antara ukuran sejauh mana janji politik diterjemahkan kepada hasil ekonomi. Persoalannya bukan sekadar jika pertumbuhan mencapai sasaran, tetapi sama ada rakyat menikmati pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti dan perlindungan sosial yang mencukupi.
Kerajaan dan pembangkang perlu menawarkan model ekonomi yang meyakinkan dari segi produktiviti, keadilan percukaian, pengurusan hutang, perlindungan sosial dan pembangunan wilayah. Pengundi seharusnya dapat membandingkan rekod pentadbiran serta cadangan dasar berdasarkan bukti dan kebolehlaksanaan, bukan hanya daya tarikan bantuan jangka pendek atau retorik kempen.
Akhirnya, Belanjawan 2027 dan persaingan menjelang PRN Melaka serta PRU16 perlu dilihat dalam kerangka tanggungjawab fiskal dan keadilan sosial. Keupayaan negara menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada kesejahteraan yang lebih inklusif, memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab dan membolehkan rakyat menilai prestasi pemerintah akan menentukan kekuatan legitimasi politiknya.
Legitimasi yang berkekalan tidak terbina melalui besarnya peruntukan yang diumumkan, tetapi melalui hasil yang nyata dan keadilan yang dapat dirasai rakyat.
AZRIE AZEH ialah setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AI1ad2dd_780041.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.