Kutipan tiket produksi filem tempatan merosot
Mungkinkah industri perfileman - sama seperti sektor lain - mengalami zaman lembab pada tahun ini?
Berdasarkan data rasmi dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sehingga 20 Ogos ini sebanyak 43 filem sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara dan empat lagi menunggu giliran.
Daripada jumlah itu hanya RM24,611,251 dipungut daripada jualan tiket.
Secara bandingan, pada tahun lalu sebanyak 81 filem dihasilkan dan ditayangkan, manakala jumlah kutipan pula ialah RM74,611,454 menjadikan jumlah purata diperoleh setiap filem ialah RM921,129.
Berdasarkan data Finas untuk tahun ini, jumlah purata bagi setiap filem (setakat Julai) cuma RM572,354.
Dua filem terbaru ditayangkan - sejak 17 Julai lalu - ialah Suamiku Jatuh Dari Langit terbitan MIG Pictures Sdn Bhd memperoleh kutipan RM83,000 berbanding Gangsterrock - Kasi Sengat (YKS Film Maker Sdn Bhd) hanya RM44,000 selepas lima hari ditayangkan.
My Papa Rich - sebuah filem komedi dalam bahasa Mandarin terbitan Film Kingdom Group Sdn Bhd - menduduki tempat pertama dengan kutipan sebanyak RM3.03 juta bagi tempoh 22 hari tayangan.
The Journey pegang rekod
Filem kedua terlaris ialah Suamiku Encik Perfect 10 (Astro Shaw) yang mengumpul RM2.99 juta daripada 33 hari tayangan di 53 pawagam, diikuti Villa Nabila (terbitan Skop Production dan Viper Studios) yang meraih RM2.81 juta bagi tempoh tayangan selama 28 hari di 84 pawagam.
Produksi fiksyen Kru Studios, Cicakman 3 berada di tempat keempat apabila memungut RM2.56 juta selepas ditayangkan selama 28 hari di 69 pawagam.
Tempat kelima terlaris tahun ini ialah Pilot Cafe (Astro Shaw dan Tarantela Pic) mengumpul hanya RM1.69 juta selepas ditayangkan selama 19 hari bermula dari 30 April lalu.
Pada 2014 filem terlaris ialah produksi Astro Shaw, The Journey , yang memungut RM17.17 juta.
Filem paling rendah ialah produksi berbahasa Tamil, Khaithin Agarathi terbitan Anjana Film Production yang memungut hanya RM3,132 selepas enam hari ditayangkan di 16 pawagam.
Bagi tahun ini pula produksi paling rendah kutipan tiketnya ialah Kid, sebuah filem jenayah terbitan Fenomena Seni Produksi yang mengumpul RM6,763.50 hasil tayangan selama tujuh hari di 14 pawagam.

