'Saya banyak berhutang lagu dengan kamu semua'
Terlantar di katil hospital, pemain dram kumpulan Search memang terpaksa bergantung harap kepada ihsan orang ramai untuk merawat sakitnya.
Yazid Ahmad berada di Hospital Ampang sejak 3 Ogos lalu kerana menghadapi masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan yang menelan belanja sehingga RM200,000.
Hari ini rombongan Gerakan Anak Muda Harapan Baru menziarahi Yazid di hospital berkenaan untuk bertanya khabar sambil menyampaikan sumbangan derma.
Difahamkan sebelum ini Yazid dirawat di Hospital Kuala Lumpur sehinggalah Aidilfitri lalu apabila dipindahkan ke Hospital Ampang.
Semuanya kerana masalah buah pinggang yang memerlukan dia diawasi doktor dengan rapi.
Sentiasa setia menemani Yazid di wad 6B hopsital berkenaan ialah isterinya, Ramlah.
Rombongan berkenaan juga terserempak dengan vokalis kumpulan Search, Amy, dan isterinya yang kebetulan datang menziarahi Yazid.
Naib Penyelaras II Gerakan Anak Muda Harapan Baru, Shazni Munir berkata mereka merancang untuk mengadakan konsert amal bagi membantu artis veteran yang uzur ketika ini.
Ketika bersalaman sebelum berpisah, kata Shazni, Yazid sempat berbisik: "Saya banyak berhutang lagu-lagu dengan awak semua.."
Kata Shazni, mereka berharap Yazid diberi kekuatan menghadapi dugaan itu dan akhirnya disembuhkan Allah.
"Mudah-mudahan lebih ramai dermawan tampil meringankan beban beliau dan keluarga," katanya.

