Shelton saman majalah In Touch Weekly
Penyanyi country terkenal Blake Shelton mengemukakan saman terhadap In Touch Weekly kerana menerbitkan laporan mendakwa dia mengalami masalah ketagihan alkohol.
Majalah itu dalam keluaran September lalu turut mendakwa masalah yang dihadapi Shelton menjadi punca perceraiannya dengan Miranda Lambert selain akan memasuki pusat pemulihan.
Shelton dan Miranda disahkan bercerai pada 6 Julai lalu dan khabar angin menggambarkan ia berpunca daripada kedua-duanya berlaku curang antara satu sama lain.
Penyanyi berusia 39 tahun itu memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Los Angeles dengan kos lebih daripada RM1 juta.
Peguam Shelton juga menyangkal berita disiarkan majalah berkenaan.
“Sudah cukuplah apa dialami oleh Blake Shelton.
“Shelton tidak berada dalam pusat pemulihan malahan tidak merancang untuk ke sana,” katanya.
Gagal dapat respon
Laporan itu juga menafikan dakwaan In Touch Weekly yang menyatakan artis yang menjadi salah seorang mentor dalam siri realiti televisyen The Voice sedang mengalami saat paling sukar dalam hidupnya.
Dalam keterangan dikemukakan peguam Shelton, In Touch Weekly membuat spekulasi mengenai kisah penyanyi berkenan dan ditulis tanpa menghubungi atau mendapat pengesahan daripada mana-mana wakil terlebih dahulu.
Dalam tuntutannya, penyanyi yang pernah memenangi anugerah iHeartRadio Muzik pada 2014 itu meminta kisah berkenaan ditarik balik, namun gagal mendapat sebarang respon.
Selain ganti rugi, penyanyi itu turut mengenakan injuksi untuk menghalang In Touch Weekly daripada mengulangi tindakan sama.
Shelton ketika ini sibuk dengan rancangan The Voice musim ini dan sedang menyiapkan album terbarunya.

