Majalah dewasa Playboy mempunyai cara tersendiri menutup tirai penerbitan gambar bogelnya selepas lebih 60 tahun menjadi penghibur kepada ramai orang di seluruh dunia.

Selepas mempamerkan susuk tubuh pelbagai selebriti, terbitan terakhir menampilkan tubuh wanita tanpa pakaian akan dijual untuk edisi Januari/Februari 2016. Majalah itu dijangka akan mula dijual di AS pada 11 Disember ini.

Penghias muka depan yang dipilih ialah bekas bintang Baywatch, Pamela Anderson.

Penerbit Playboy pada Oktober lalu mengumumkan mereka akan menamatkan penerbitan gambar wanita bogel - komoditi utama majalah itu sejak ia ditubuhkan pada 1953 oleh Hugh Hefner.

Model pertama menghiasi majalah itu ialah Marilyn Monroe namun gambar itu bukan diambil khusus untuk Playboy , sebaliknya dibeli Hefner daripada sebuah syarikat pencetak kalendar.

Keputusan mengubah pendekatan Playboy dibuat ekoran saingan terlalu hebat diberikan oleh kemudahan Internet yang dapat diakses oleh hampir sesiapa saja.

Pengguna Internet boleh mendapatkan imej lucah secara percuma berbanding membeli Playboy.

Tanya anak lelaki dulu

Jumlah edaran Playboy menurun daripada kira-kira 5.6 juta pada 1975 kepada hanya sekitar 800,000 naskhah beberapa tahun lalu.

Dalam edisi terkini itu nanti, Playboy menyediakan 12 halaman khas untuk memaparkan gambar Pamela, selain temubual oleh aktor James Franco.

Selain Pamela, 48, antara artis wanita yang pernah berbogel untuk Playboy ialah Madonna, Kim Kardashian dan Cindy Crawford.

Kemunculan Pamela dalam Playboy edisi Januari/Februari 2016 itu bukanlah yang pertama untuknya.

Kali pertama Pamela muncul berbogel untuk Playboy ialah pada 1989 dan sejak itu dia sudah membuat 13 penampilan.

Apabila imejnya dipaparkan untuk kali ke-14 nanti, Pamela menjadi artis paling kerap berbogel untuk Playboy.

Menceritakan tawaran daripada Playboy, Pamela berkata, dia mendapat panggilan daripada peguam Hefner yang menegaskan keinginan mereka mengambilnya sebagai model penghias muka depan.

Adakah Pamela terus bersetuju? Tidak, sebab dia bertanya terlebih dulu kepada anak lelakinya, Brandon, 19, dan Dylan 17.

Selepas mendapat persetujuan, barulah Pamela menyatakan kesanggupannya beraksi tanpa pakaian di depan lensa kamera jurugambar Playboy.

Menurut Playboy bagi edisi Mac 2016 majalah itu akan tampil dengan pelbagai kandungan baru membabitkan temuramah, fiksyen dan laporan berbentuk long-form journalism.

Pada masa sama, kandungan "seksi dan menghairahkan" - tanpa imej bogel - tetap disiarkan.