KL Art Street untuk semua
KL Art Street bakal menjadi platform untuk penggiat seni dan budaya tempatan mengetengahkan bakat dan karya masing-masing dan dihargai orang lain.
Dengan menjadikan Plaza Damas sebagai ruang untuk ‘berkarya,’ program itu membuka ruang kepada pelbagai bakat yang berminat, termasuk pemuzik, penyanyi, penari dan pelukis.
Program itu dianjurkan syarikat JV Transformasi Sdn Bhd dengan usahasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Malaysia Land Sdn Bhd (Mayland).
Menurut Timbalan Presiden Karyawan Radhi Khalid, mereka yang diterima membuat persembahan bukan calang-calang sebaliknya diakui mempunyai kelayakan.
Katanya, sebelum menyertai KL Art Street, mereka diberikan permit yang dikeluarkan selepas menghadiri bengkel disediakan Karyawan.
Di bengkel itu, kata Radhi, peserta sudah dinilai juri untuk dilihat kualiti dan kesesuaian.
“Antara yang menjadi juri untuk persembahan mereka adalah penyanyi dan pelakon Man Bai, serta Jay Jay," katanya kepada Malaysiakini.
Bengkel itu, kata Radhi, dianggap sebagai pusat akredetasi untuk menilai persembahan seniman terbabit.
Program yang dijangka bermula pada 24 Disember ini dirancang bermula antara jam 4 petang hingga lewat malam.
Ia akan dijayakan oleh lebih 100 penggiat seni dan budaya dari seluruh negara.
Antara persembahan disediakan adalah kugiran, sastera, seni persembahan, demonstrasi, pameran seni dan aktiviti kreatif untuk kanak-kanak.
Selain itu, turut mendapat tempat adalah pasar lambak yang menyediakan pelbagai pilihan seperti makanan, fesyen, seni, barangan DIY dan tumbuhan organik.
Dan sempena sambutan tahun baru, dua pelukis berbakat dari Perancis dan Poland akan melakukan demonstrasi menghasilkan karya mereka.
Sementara itu Pengarah Kreatif JV Transformasi, Rene Sullivan, berkata program KL Art Street adalah simbol penyatuan penggiat seni dan budaya yang mungkin sukar mendapat tempat untuk menunjukkan bakat mereka.
“Program ini adalah galakan dan dorongan kepada seniman jalanan.
“Mereka sering dituduh tidak mempunyai bakat atau tidak cukup bagus untuk menjadi seniman, tetapi kali ini, inilah ruang mereka untuk membuktikan diri,” katanya.

