Pelakon Leonardo DiCaprio tidak pernah memenangi sebarang anugerah dalam Anugerah Academy atau atau Oscars.

Tetapi bagi pelakon Kate Winslet, tahun ini mungkin mengubah nasib DiCaprio, 41, selepas mendapat pencalonan bagi kategori pelakon lelaki terbaik menerusi filem The Revenant arahan Alejandro González Iñárritu.

“Saya rasa kamu boleh rasakan kemenangan itu, dan saya fikir semua orang mahu dia memenanginya,” Kate dipetik sebagai berkata oleh Time .

Namun, bagi Winslet, DiCaprio masih berdepan ‘masalah’ apabila bintang gandingannya dalam Steve Jobs, Michael Fassbender turut dicalonkan.

Katanya, semasa menjalani penggambaran selama tiga bulan dengan Fassbender, dia mendapati lelaki itu memang seorang yang gigih.

“Saya lihat bagaimana dia bekerja keras, dan persembahan yang dipamerkan sememangnya luar biasa.

“Tetapi bila difikirkan lagi, saya rasa kamu boleh merasai bahang tahun ini akan menjadi milik Leo,” katanya.

Leo adalah nama timangan kepada DiCaprio.

5 kali tercalon

Winslet dan DiCaprio pernah bergandingan dalam filem Titanic (1997) sebagai Rose DeWitt Bukater dan Jack Dawson.

Baru-baru ini media antarabangsa melaporkan, The Revenant mendapat 12 pencalonan dalam Oscar, antaranya bagi kategori pelakon lelaki terbaik dan pengarah terbaik.

Pencalonan untuk Anugerah Akademy ke-88 itu diumumkan di Los Angeles.

Dan sebaik nama DiCaprio dicalonkan, aktor itu seolah mendapat kepercayaan malah tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Selain Fassbender, DiCaprio turut bersaing dengan nama hebat seperti Bryan Cranston ( Trumbo ), Matt Damon ( The Martian ) dan Eddie Redmayne ( The Danish Girl ).

Leonardo pernah dicalonkan untuk lima Anugerah Akademi tetapi tidak pernah menang.

Namun menerusi kebanyakan spekulasi media dan umum, semuanya sependapat bakat pelakon itu mungkin akan diiktiraf pada acara kali ini.