Mungkin lebih istimewa daripada biasa andai Ella dapat memujuk suaminya untuk sama-sama berada di atas pentas selepas 20 tahun ratu rock tidak mengadakan konsert solo berskala besar.

Ella berkata dia berasa sangat teruja sekiranya suami Kapten Azhar Ghazali dapat berkongsi detik manis berkenaan bagi memenuhi permintaan peminat.

“Konsert ini hadiah buat peminat kerana mereka menjadi penyokong setia di sepanjang karier saya.

“Ramai peminat meminta agar saya bergandingan dengan suami untuk konsert kali ini.

“Justeru, atas permintaan peminat di dalam dan luar negara, saya akan cuba memujuk dia untuk menyertai persembahan,” kata Ella di sidang media pengumuman konsert berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Ella bakal menggegarkan Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor dengan Konsert Ella 2016 pada 16 April depan.

Di konsert berkenaan, suara serak-serak basah Ella bakal mengubati rindu peminat selama dua jam dengan sekurang-kurangnya 20 lagu yang dipilih dari awal kemunculan album hingga ke hari ini

Setakat ini, jualan tiket dilaporkan sudah mencecah 2,000 keping dalam tempoh yang singkat.

Sumbangan untuk PEMADAM

Menurut penyanyi Dua Insan Bercinta dan Istimewah itu, dia berharap Konsert Ella 2016 di stadium yang mempunyai kapasiti 10,000 penonton itu dapat berlangsung dengan sempurna.

Justeru, Ella yang mementingkan kualiti dalam setiap persembahan berkata, sebolehnya dia tidak mahu timbul perkara tidak diingini seperti kesilapan teknikal.

Untuk memastikan penonton benar-benar terhibur, Ella memilih dua pengarah muzik bagi menjayakan konsert solo mega ini.

Man Kidal diangkat sebagai peneraju konsert bersama seorang lagi pengarah muzik yang namaya bakal diumumkan tidak lama lagi.

Selain itu, The Boys, kumpulan yang membantu melonjakkan nama Ella di persada seni dan beberapa rakan artis akan turut menyertai persembahan.

Biarpun sudah 30 tahun mengekalkan gelaran sebagai penyanyi rock wanita, Ella akui masih wujud kebimbangan setiap kali ingin berdepan dengan peminat.

Katanya, kebimbangan itu berlaku disebabkan timbul perasaan berdebar-debar apabila perlu menunggu saat untuk mengadakan persembahan.

Dan bagi mengatasi masalah itu, bagi acara pembuka tirai, Ella memilih untuk tiba di stadium dengan menaiki helikopter.

Namun, gimik tiba di lokasi persembahan dengan kenderaan berkenaan bukan yang pertama kali buat anak kelahiran Pulau Pinang yang dibesarkan di Klang itu.

“Masih ada penyanyi yang berdebar-debar ketika mahu lakukan persembahan, begitu juga saya, tetapi dengan menaiki helikopter, masa untuk sampai ke lokasi lebih cepat berlalu.

“Selain itu, saya juga ingin mengimbau kenangan yang pernah dilakukan di Konsert Mega Ella USA di Shah Alam pada 1990-an dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ella selaku duta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor memilih untuk mendermakan RM2 daripada setiap jualan tiket konsert berkenaan sebagai tanda sokongan kepada aktiviti antidadah.

Untuk makluman, konsert dibawakan oleh Atlast One Events Sdn Bhd ini turut mendapat kerjasama daripada PEMADAM Selangor.

“Sumbangan ini akan disalurkan kepada tabung PEMADAM agar mereka dapat melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti kesedaran antidadah.

“Untuk itu, sebagai tanda sokongan kepada mesej positif, saya berharap penonton dapat hadir dengan mengenakan pakaian putih yang membawa lambang suci dan bebas dadah,” katanya.