'Brader, kita mesti terus hidup...' 30 tahun kemudian

       

Waktu itu saya remaja berusia 18 tahun, masih belajar di tingkatan enam. Saya naik bas mini nombor 27 - dengan tambang 50 sen - ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, beli tiket kelas satu (RM2.50) di panggung Coliseum. Tonton filem Kembara Seniman Jalanan ( KSJ ).

Sekarang, 30 tahun telah berlalu.

KSJ mula ditayangkan di pawagam pada 22 Februari 1986. Pada waktu itu, saya menonton atas dua sebab. Pertama, Datuk M Nasir berlakon dalam filem tersebut. Kedua, konsert dalam filem tersebut menjadi tarikan untuk menontonnya di pawagam.

Beberapa bulan sebelum KSJ ditayangkan di pawagam, Radio Tiga Ibu Kota (atau RMIK. Generasi sekarang mungkin tidak pernah mendengar pun nama ini) menghebahkan maklumat tentang konsert untuk filem KSJ akan diadakan di Panggung Anniversary, Tasik Perdana. Hebahan tentang konsert percuma ini saja sudah mengujakan.

Petang konsert itu, mat-mat rock dari Kampung Sentosa Sepakat pun naik bas merah KL Klang. Kami turun di Brickfields dan 'menapak' ke Tasik Perdana melalui Jalan Sultan Hishamuddin.

Suasana konsert pada malam itu sangat meriah.

Kalau diamati konsert dalam KSJ, saya pasti boleh mengenali beberapa muka, termasuklah dua 'mamat' yang memanjat pokok ketika konsert berlangsung.

Begitupun, setelah dewasa, saya menonton filem arahan Nasir Jani itu lebih daripada sekadar minat kepada M Nasir dan keterujaan di Panggung Annivesary.

Dari budak sampai bapak budak

Setelah dewasa saya mula faham bahawa filem itu adalah tentang perjuangan menentang lanun cetak rompak, kritikan terhadap dunia hiburan tanah air, rasuah, persahabatan dan keresahan nasib orang Melayu.

Saya mula hadam beberapa dialog sinikal dalam filem itu. Antaranya termasuklah dialog Bujang: “Cuma satu yang tak heavy dalam dunia ni, filem heavy drama Melayu”.

Begitu juga dengan dialog Osman Tikus (lakonan Pyanhabib): “Macam orkestra RTM, tak berubah. Dari gua budak-budak sampai gua nak jadi bapak budak, dok macam tu jugak. Dari gua mendengar sampai gua tak mendengar, macam tu jugak”.

Saya juga mula faham bahawa KSJ berbicara tentang nasib orang Melayu. Dalam industri hiburan misalnya, KSJ meratapi nasib penyanyi, penggubah dan penerbit lagu yang terdiri daripada Melayu yang bersusah payah berkarya tetapi yang kaya raya “orang lain”.

Lagu Siapa Orang Kita yang melatari KSJ dengan nyata menyuarakan persoalan ini. Demikian juga sajak tulisan Pyanhabib Melayu vs Melayu yang menjadi latar adegan Osman Tikus yang dalam keadaan berlumuran darah setelah gagal dalam cubaan untuk “menjadi kaya dengan cepat”.

KSJ menyentuh masalah rasuah di negara ini secara halus. Johan - penerbit sebuah syarikat rakaman - cuba merasuah Ana (Datuk Khatijah Ibrahim) si wartawan hiburan agar menulis reputasi yang baik-baik saja tentang album baru Farez (Datuk Shah Reza) yang dikeluarkan syarikatnya.

Ada makna di sebalik 'Osman'

Osman Tikus si pencopet “sepenuh masa” juga menulis grafiti di tembok, “Ke mana $2.7 biliooon?” Grafiti itu mungkin berkaitan dengan skandal sebuah firma kewangan yang beritanya menghebohkan negara seputar 1980-an.

Osman Tikus dalam KSJ mungkin saja dipandang jelek kerana mencopet untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun demikian, apakah bezanya dengan pihak yang melesapkan RM2.7 billion dan terlepas begitu saja?

Menonton KSJ untuk menulis artikel ini dan membaca tulisan-tulisan tentang skandal firma kewangan itu di Internet membuat saya tertanya-tanya: Adakah apa-apa yang tersirat di sebalik penggunaan nama Osman Tikus?

Mungkinkah nama ini sebenarnya alegori kepada Osman 'yang lain'? Saya sekadar tertanya-tanya.

Ya, Osman Tikus menulis grafiti itu 30 tahun dulu. Dan kita mengetahui pula kisah dengan jumlah wang yang lebih kurang sama pada masa ini dalam situasi yang lain pula.

Sebenarnya, skandal kewangan yang besar telah wujud di negara ini bermula sekurang-kurangnya sejak 30 tahun dahulu lagi!

Selepas itu, kita membaca dan mendengar skandal-skandal kewangan lain yang turut melibatkan jumlah yang besar.

Pada 30 tahun yang dulu KSJ seakan-akan telah memberikan peringatan bahawa rasuah bakal menjadi petaka di negara ini jika tidak dibendung.

Menyentuh Osman Tikus, watak itu cukup diingati oleh penonton KSJ . Malahan pada saya, jika watak Osman Tikus ini dikembangkan, ia boleh menjadi watak utama bagi sebuah filem yang tersendiri.

Keroncong Untuk Ana

Meskipun telah mencopet Bujang (M Nasir), jauh di sudut hati Osman Tikus ada perasaan yang luhur dalam persahabatan. Dia telah mempelawa Bujang yang sebatang kara di Kuala Lumpur untuk menginap di “istana hinggap" miliknya.

Osman Tikus telah mencopet untuk menggantikan wang Bujang yang telah dicopetnya sewaktu Bujang mula-mula tiba di Pudu Raya. Nasir Jani ( gambar ) telah mengadun adegan ini dengan semiotika yang nakal. Dengan riak wajah bersalah, Osman Tikus telah melemparkan wang kertas sepuluh ringgit ke atas buku S H Alattas yang berjudul Perdana Menteri Yang Kelima? di gerai burger Joe.

Adegan Bujang mengajar Osman Tikus menyanyikan lagu Keroncong Untuk Ana pula menjadi adegan menggambarkan keakraban persahabatan yang cukup diingat.

Dialog Osman Tikus yang sangat popular ialah “ Brader, kita mesti terus hidup”. Osman Tikus menuturkannya sebanyak tiga kali dalam filem KSJ. Dialog 'keramat' ini pernah diabadikan sebagai grafik kemeja T.

Semasa saya belajar di tingkatan enam, dialog ini menjadi kata-kata perangsang untuk saya melawan perasan malas belajar sewaktu seorang demi seorang kawan saya meninggalkan tingkatan enam dan melanjutkan pelajaran ke universiti atau politeknik.

Semasa menonton KSJ 30 tahun dahulu, saya beranggapan bahawa watak Bujang atau Jebat yang merantau ke ibu kota untuk menjadi penyanyi popular ialah kisah sebenar M Nasir.

Imbasan Bank Bumiputra

Saya juga percaya pada waktu itu, kisah lagu ciptaan Bujang semasa ujian suara telah diciplak oleh Johan (lakonan Majid Salleh) ialah kisah sebenar beliau.

Bagaimanapun, setelah lebih dewasa dan lebih mengenal erti fiksyen, saya beranggapan bahawa naratif KSJ mungkin saja kisah benar atau mungkin juga bukan kisah benar M Nasir.

Tarikan lain KSJ pada 30 dahulu ialah lagu-lagunya.

Saya sememangnya peminat M Nasir lewat lagu-lagunya dengan kumpulan Kembara. Semasa kami - pelajar tingkatan enam - membuat pementasan drama di sekolah, saya telah memilih lagu Rupa Tanpa Wajah sebagai lagu latar.

Lagu lain yang menarik dalam KSJ ialah Harapan Terakhir, Balada Osman Tikus , dan Sesat di Kuala Lumpur .

Adegan paling menarik dalam KSJ bagi saya ialah adegan Ana dan Bujang bertemu di Dayabumi. Adegan itu bermula dengan refleksi imej Bujang dan Ana di dinding cermin Bank Bumiputra Malaysia Berhad.

Paparan ini pada tafsiran saya mempunyai hubungan dengan imej grafiti “Ke mana $2.7 biliooon?” yang muncul pada akhir filem KSJ .

Dalam adegan ini, Bujang menyuarakan keresahannya tentang pemikiran penyanyi, peminat dan wartawan industri hiburan Melayu.

Dalam adegan itu, saya dapat menangkap makna di sebalik dialog Ana: “Apa boleh kita buat, bangsa mata sepet tu jadi lanun”.

Begitu juga dengan dialog Bujang: “Memanglah bangsa tu dah ajar kita korup . Kau tahu apa orang Barat cakap bila cakap fasal orang Asia? Cakap fasal korupsi, kemiskinan, kebuluran, hutang Bank Dunia tak terbayar, dan cetak rompak.

"Sebenarnya, kita malas nak fikir”.

Adegan lain yang menarik perhatian saya ialah semasa Bujang dan Ana di Balai Seni Lukis Negara, Jalan Sultan Hishamudin (sekarang terletak di Jalan Tun Razak dengan nama Balai Seni Visual Negara).

Pasangan itu digambarkan berada di depan lukisan Ayahku dan Angkasawan karya Ibrahim Hussein, berbual tentang jati diri.

Glamor tu apa benda

Di tempat yang sama, saya pernah melihat lukisan itu dan duduk di hadapannya selama lebih kurang 20 minit. Waktu itu saya hanya kagum akan figura angkasawan yang digandingkan dengan figura orang tua berkain pelikat tanpa baju. Saya tidak peduli pun tentang kritik sosial dalam lukisan itu.

Ayahku dan Angkasawan juga menjadi judul lagu dalam salah sebuah album Kembara dan dinyanyikan oleh S Sahlan.

KSJ telah 30 tahun berlalu. Namun persoalan yang diutarakan dalam filem tersebut masih relevan. Beberapa persoalan masih berlegar sebagai masalah yang tak berpenghujung di negara ini.

Masalah cetak rompak misalnya, tidak pernah selesai justeru bertambah ruwet. Cetak rompak pada masa ini bukan sahaja didalangi “bangsa mata sepet” malahan diterajui oleh para peminat hiburan itu sendiri.

Siapakah yang memuatnaikkan filem-filem Melayu di YouTube untuk ditonton secara percuma? Siapakah pula yang membolehkan lagu-lagu Melayu dimuatturunkan secara percuma melalui jaringan internet? Bukan “bangsa mata sepet” sahaja.

Yang untung syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan jalur lebar dan data Internet. Siapakah pula pemilik syarikat-syarikat tersebut?

Bercakap tentang rasuah pula, adakah masalah ini bertambah pulih atau bertambah parah setelah 30 tahun? Tentang industri hiburan pula - bagaimana? Adakah kita telah punya banyak artis yang berkarisma atau masih tenggelam dalam dunia glamor?

“Joe, glamor tu apa benda?” tanya Osman Tikus.

“Glamor tu dari kamus kutu maknanya hidup berpura-pura, haa... hidup plastik, Mr Jefri,” jawab Brader Joe (Imuda).


RIMANILZAH lelaki dari 'kota basah' di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj. Dulu dia lelaki urban sebelum kini berubah menjadi lelaki uban.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda