Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri tak tahu kempen TPPA guna klip tanpa izin

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai klip video mempromosi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menggunakan bahan tanpa izin pemegang hak cipta.

"Saya tidak tahu mengenai hal itu tetapi sebarang pelanggaran hak cipta tidak akan dibiarkan," katanya di sidang media selepas menghadiri sesi penerangan mengenai TPPA di Menara Miti di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai satu klip video mempromosi TPPA - disiarkan oleh akaun Facebook dikenali sebagai TPPA Malaysia - menggunakan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan tanpa pengetahuan pemilik hak ciptanya.

Filem mengenai keperitan penyanyi berdepan dengan ancaman cetak rompak itu diterbitkan Zarul Albakri pada 1986.

Ia diarah oleh Nasir Jani dan dibarisi pelakon seperti Datuk M Nasir, Pyanhabib, Imuda dan beberapa kumpulan muzik seperti Search, Kembara dan Sweet Charity.

Bercakap kepada Malaysiakini , Zarul mengesahkan tiada sesiapa menghubunginya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan sebahagian daripada filem berkenaan sebagai bahan kempen.

Ditanya sama ada akaun TPPA Malaysia itu terletak di bawah kementeriannya, Mustapa sekali lagi menyatakan dia tidak pasti mengenainya.

Seorang pegawai kementerian itu bagaimanapun menyatakan, pihaknya hanya mempunyai satu akaun rasmi di Facebook, iaitu "Ministry of International Trade and Industry."

Mengambil sedutan filem Kembara Seniman Jalanan , paparan klip video itu menjelaskan "kesengsaraan warga seni apabila karya mereka tidak dihormati, dirompak, diciplak dan hak cipta mereka tidak dilindungi".

Pengendali akaun Facebook TPPA Malaysia ketika dihubungi pula meminta Malaysiakini merujuk Akta Hak Cipta 1987 berhubung "pengecualian-pengecualian diberikan ke atas penggunaan bahan berhak cipta."

Lihat Komen
ADS