Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kalau dibuat secara bandingan, kata Dinsman, kerajaan BN lebih mesra kepada kegiatan kebudayaan dan kesenian berbanding seteru parti itu, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan yang mentadbir di peringkat negeri.

Jika dilihat secara bandingan lagi, kerajaan Pulau Pinanglah yang lebih mudah membantu atau memberikan sokongan kewangan walaupun negeri itu secara umumnya diterajui ketua menteri bukan Melayu.

Itu pengalaman dirasai sendiri Dinsman sebagai penggerak utama kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Ditemui Malaysiakini Dinsman yang pernah bergerak bersama Anak Alam - suatu kumpulan aktivis seni dan budaya di Kuala Lumpur suatu ketika dulu - memberitahu bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak banyak masalah menyokong pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan .

Teater yang sarat dengan tema keislaman itu diangkat menjadi acara utama sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 2009.

Tiada exco kebudayaan

Sebaliknya kata Dinsman, kerajaan Kedah yang dipimpin menteri besar dari PAS bersikap negatif kepada PAKSI.

"Kami pernah bertemu wakil kerajaan negeri sekali dua tetapi sikap mereka tidak responsif," katanya.

Dinsman juga mengakui kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dulu pernah tidak memiliki exco kebudayaan pun.

"Di Terengganu (ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi menteri besar selama hanya satu penggal) tidak ada exco yang bertanggungjawab mengenai hal kebudayaan dan kesenian.

"Di Selangor portfolio itu hanya wujud selepas beberapa pihak menegur kerajaan negeri," katanya.

Keadaan itu tentulah mengecewakan.

Kata Dinsman, mungkin ada ahli politik yang kurang menyedari bahawa aspek kesenian dan kebudayaan amat penting untuk mengimbangi politik keterlaluan.

"Itu yang diperjuangkan PAKSI, iaitu menjadikan wujudnya tekad budaya dalam sesebuah kerajaan," katanya.

Bagaimanapun menurut Dinsman perbezaan layanan antara kerajaan BN dan bukan BN itu berlaku mungkin disebabkan kewujudan kementerian khas untuk mengelolakan aspek kebudayaan dan kesenian.

Pokok jadi pentas

Di peringkat pusat, ada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (sebelum ini ada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) selain Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara.

Dalam keadaan begitu agak bertuah juga untuk melihat bagaimana Selangor bermurah hati memberikan bantuan kewangan untuk menjayakan projek Teater Atas Pokok pada 16 dan 17 April ini.

Berbeza daripada teater biasa, Teater Atas Pokok karya dan arahan Dinsman itu memang akan dipentaskan di atas pokok.

Melihat foto yg dimuatnaik oleh Fairul Pujangga dalam Fb dia hari ini, menunjukkan dia seperti sedang terbang, atau...

Posted by Shamsudin Osman on Tuesday, March 29, 2016

Ia dibintangi - antara lain - Sani Sudin, Bohari Ibrahim, Saidin Omar, Nadhilah Suhaimi dan Lim Paik Yin, selain penari profesional dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn.

Mengagumi karya pasangan seniman suami isteri Christo Vladimirov Javacheff dan Jeanne-Claude, Teater Atas Pokok itu tercetus hasil daripada 'lamunan' Dinsman di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam pada suatu ketika dulu.

Naskhah Dinsman itu berjaya mendapat sokongan daripada kerajaan Selangor dan bakal dipentaskan di Dataran Bunga Raya, Taman Tasik Shah Alam, jam 9 malam pada Sabtu dan Ahad ini.

Tiada sebarang bayaran tiket dikenakan dan ia terbuka kepada umum.

Cerita yang melatari Teater Atas Pokok adalah berkisar mengenai nasib dialami Kampung Banda Dalam yang terhimpit oleh pembangunan di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS