Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ujang: Sekali pun Zunar tak pernah makan rasuah
Diterbitkan:  May 14, 2016 5:19 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Ketika beberapa menteri terus 'menyerang' Zunar, seorang kartunis mempunyai pandangan ringkas tetapi tegas untuk pelukis karikatur politik itu.

Menulis di Facebook semalam kartunis Ujang memberitahu dia mengenali Zunar sejak lebih tiga dekad lalu.

Perkenalan mereka bermula di majalah satira yang sangat terkenal dan berpengaruh suatu ketika dulu - Gila-Gila.

Di majalah itu Zunar dikenali dengan siri kartun Liza Cinta Tak Semesti Bersatu, manakala Ujang menghidupkan watak Atuk yang menampilkan pasangan seorang budak bersama datuknya.

Kata Ujang, dia bersahabat dengan Zunar - atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque - sejak lebih 35 tahun lalu.

Di sebalik perkenalan yang begitu lama, kata Ujang, tiada sekali pun Zunar diketahuinya mengambil rasuah.

Turut mengiringi kenyataan Ujang itu ialah rakaman gambar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Kelmarin Salleh berkata tindakan Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui karyanya dalam satu pameran di Geneva, Switzerland disifatkan sebagai menghina pemimpin yang telah dipilih rakyat.

Selain memalukan negara, kata Salleh, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur gabungan yang mahu menjatuhkan perdana menteri.

Itu melucukan

"Saya kesal dengan perbuatannya. Kalau ada pun perbezaan pendapat dan sebagainya, uruslah dalam Malaysia.

"Tidak salah jika kita berbeza pendapat, bahkan tidak salah juga jika tak setuju dengan pandangan kerajaan tapi kenapa perlu libatkan negara lain?" katanya.

Kenyataan itu kemudian dibalas Zunar dalam jawapan panjang lebarnya semalam.

Antara lain, kata Zunar, jika dakwaan Salleh bahawa kartunis boleh menjatuhkan seorang perdana menteri, ia bukan suatu kesalahan "tetapi kelucuan".

Hari ini pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi kenyataan mengulas mengenai Zunar.

Kata naib presiden Umno itu walaupun negara meraikan perbezaan pendapat namun ia bukannya bertujuan untuk menghina mana-mana pihak, terutama pemimpin.

“Kita semua mempunyai perbezaan pendapat, tetapi bukan untuk menghina seseorang, apatah lagi pemimpin," katanya.

Ujang - atau nama sebenarnya Ibrahim Anon - bersama Zunar adalah memeriahkan majalah Gila-Gila sejak 1980-an.

Lihat Komen
ADS