Jika kebanyakan artis tidak peduli aksi mereka di atas pentas konsert dirakam peranti pintar, lain pula halnya dengan Adele.

Kata penyanyi Hello itu, dia lebih suka peminat menyaksikan persembahannya dengan mata semula jadi berbanding lensa kamera.

Satu klip video dimuat naik di Twitter menunjukkan penyanyi British itu bercakap kepada seseorang di depannya: "Boleh tak kamu berhenti merakam saya dengan kamera video? Sebab saya benar-benar ada di depan kamu, dan kamu boleh menikmati persembahan saya secara langsung berbanding lensa kamera."

Kata Adele, apa yang terjadi ketika itu adalah persembahannya secara langsung dan bukan paparan daripada cakera video digital.

"Saya benar-benar mahu kamu semua berseronok dengan konsert ini kerana ada ramai lagi di luar sana tidak dapat masuk," katanya.

Adele, 28, kemudian menjeling tajam ke arah penonton itu sebelum memalingkan muka ke arah lain.

Laporan ABC News menyatakan video berkenaan dirakam pada malam Ahad lalu.

Adele mengadakan konsertnya di Verona, Itali pada malam berkenaan.