Seorang pelakon Bollywood ditemui tidur di tepi jalan di Delhi selepas dihalau keluarganya, lapor media semalam.

Alisa Khan yang bakal muncul di layar lebar bersama Emraan Hashmi dalam filem terbarunya, Aaina dilaporkan tidak mendapat ihsan daripada ibu dan adik-beradiknya.

India Today melaporkan Alisa sebelum itu mengadu mengenai teman lelakinya yang memuat naik gambar intim mereka ke YouTube.

Alisa juga membuat aduan kepada polis Mumbai. Ekoran itu klip video berkenaan dipadamkan dari laman sesawang berkenaan.

Bagaimanapun insiden itu menimbulkan kemarahan keluarga Alisa.

Sejak itu Alisa terpaksa mengharap belas kasihan kawan-kawan untuk menumpang teduh atau sekadar bermalam beberapa tempat awam atau rumah ibadat di sekitar bandar raya Delhi.

Mengkut carian di Internet, Alisa sebenarnya bukan orang sembarangan.

Menetap di Ghaziabad, Uttar Pradesh, dia diberi peranan utama dalam filem My Husband’s Wife selain muncul dalam banyak klip video muzik.

Filem Aaina dijadual ditayangkan Ogos ini.

Alisa juga adalah keturunan keluarga bangsawan Wazir Ghazi-ud-din yang membuka bandar Ghaziabad.