Wiji Thukul 'bercerita, bersajak' di Switzerland
Sebuah filem tentang tokoh aktivis Indonesia, Wiji Thukul, ditayangkan kali pertama di Switzerland semalam di depan kira-kira 500 penonton.
Berjudul Istirahatlah Kata-Kata filem arahan Yosep Anggi Noen itu dipertandingkan dalam Festival Filem Antarabangsa Locarno.
Ia bukanlah kemunculan pertama Yosep di festival filem berkenaan.
Empat tahun lalu dia muncul di Locarno - sebuah bandar peranginan di selatan Switzerland - bersama filem Vakansi Yang Janggal Dan Penyakit Lainnya.
Istirahatlah Kata-Kata bercerita mengenai Wiji Thukul yang bersembunyi daripada pihak berkuasa Indonesia selepas kekacauan berlaku ekoran rampasan paksa pejabat Parti Demokrasi Indonesia (PDI) di Jakarta pada 27 Julai 1996.
Ketika itu PDI dikuasai penyokong Megawati Sukarnoputri.
Insiden dikenali sebagai Peristiwa Sabtu Kelabu itu bermula apabila penyokong kumpulan bertentangan dengan Megawati, Soerjadi menyerbu ibu pejabat PDI bersama polis dan tentera Indonesia.
Ia kemudian merebak menjadi rusuhan di beberapa tempat lain di Jakarta.
Pihak kerajaan menuduh aktivis Parti Rakyat Demokratik (PRD) sebagai dalang di sebalik rusuhan berkenaan.
Pihak berkuasa kemudian memburu ramai aktivis PRD dan menangkap serta memenjara mereka. Wiji Thukul - atau nama sebenarnya Wiji Widodo - adalah antara aktivis PRD yang terkedepan.
Sejak itu Wiji Thukul bersembunyi - dan sesekali dilihat di beberapa tempat di sekitar Indonesia - sebelum dia akhirnya didapati hilang pada 1998.
Sepanjang pelariannya Wiji Thukul tetap menulis sajak yang memberi pengaruh kepada ramai orang. Antara sajaknya ialah Para Jendral Marah-Marah.
Nama Wiji Thukul dimasukkan secara rasmi ke senarai orang hilang pada April 2000 apabila isterinya, Sipon membuat aduan kepada Suruhanjaya Orang Hilang Dan Mangsa Kekerasan (Kontras).
Status Wiji Thukul masih belum diketahui sehingga kini.
Delegasi Istirahatlah Kata-Kata ke Locarno turut disertai seorang daripada pelakon utamanya Marissa Anita yang membawa watak Sipon.
Watak Wiji Thukul dalam filem itu pula dibawa aktivis teater Gunawan Maryanto.
Pengarah Seni Festival Filem Antarabangsa Locarno, Carlo Chatrian, menyatakan filem Istirahatlah Kata-Kata bercerita mengenai seseorang yang mempunyai peranan penting dalam perkembangan demokrasi Indonesia.
Yosep pula berkata dalam filem itu dia memberi ruang supaya sajak-sajak Wiji Thukul dapat diperdengarkan semula walaupun jasad tokoh berkenaan tidak diketahui kedudukannya.

