Sempena 10 tahun penglibatan di arena muzik di tanah air, Bunkface 'menghadiahkan' sebuah konsert sebagai penghargaan kepada peminat setia band itu sejak mula bertapak pada tahun 2006.

“BunkfaceX Live in Kuala Lumpur” diadakan di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu dan menyaksikan kehadiran peminat yang memenuhi ruang, lapor Bernama.

Sam, penyanyi dan pemain gitar rhythm kumpulan itu, berkata 70 peratus kewujudan Bunkface dipacu oleh sokongan peminat.

Katanya, Bunkface akan kedengaran membosankan tanpa nyanyian bersama daripada peminat.

Sebanyak 20 buah lagu, antaranya “Malam Ini Kita Punya”, “Soldier”, “Masih di Sini”, “Situasi” dan “Revolusi”, didendangkan semasa konsert itu.

Boleh dikatakan semua dinyanyikan bersama oleh para peminat yang hadir, lapor agensi berita nasional lagi.

Peminat band ini kelihatan benar-benar menikmati muzik yang dimainkan, walaupun anggota kumpulan beberapa kali berhenti rehat.

Suasana dihangatkan apabila Sam secara spontan meminta seorang peminat untuk naik ke pentas dan menyanyi bersama-samanya.

Turut hadir memberikan sokongan Datuk M Nasir dan isteri serta Hatta, penyanyi kumpulan rock 80-an, Junction.

“BunkfaceX Live in Kuala Lumpur” dibawakan bersama oleh Universal Music Malaysia dan syarikat kumpulan itu sendiri, Bunkface Production Sdn Bhd.

Sepanjang 10 tahun, Bunkface telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan termasuklah Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Shout Awards.

Band itu juga tercalon dalam MTV Europe Music Awards (MTV EMAs) 2016 dalam kategori “Best Southeast Asia Act”, bersaing dengan nama-nama besar Asia Tenggara seperti Sarah Geronimo, Raisa dan Yuna.