Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Istikarah tenangkan resah malam Sharnaaz
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 2:51 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Menjelang tarikh perkahwinan yang semakin hampir pada Mac depan, banyak perkara benar-benar merunsingkan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Kata Sharnaaz, dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkan sehingga tidurnya pada waktu malam turut terganggu.

“Lillahi Ta’ala saya tidak pernah berasa tidak boleh tidur sebegini hingga perkara itu berlanjutan kadang-kadang hingga pukul empat, lima pagi.

“Entah apa yang dirisaukan pun saya tidak pasti, tetapi boleh dikatakan fikiran saya kosong sebenarnya.

“Justeru, saya berusaha lebih mendekatkan diri sebagaimana yang patut dibuat sejak dulu iaitu dengan Allah S.W.T,” katanya.

Sharnaaz ditemui semasa sidang media majlis pengumuman tarikh perkahwinnya dengan Noor Nabila Mohd Noor yang diadakan di Club House, Duta Tropika semalam.

Ketika ditanya sama ada dia resah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul sebagai suami, pelakon Suamiku Encik Sotong itu tidak menafikan perkara berkenaan.

Katanya, sebelum mengambil keputusan mendirikan rumahtangga, banyak masa digunakan untuk berfikir semasak-masaknya mengenai masa depan bersama Nabila.

“Saya banyak duduk dan memikirkan persoalan mengenai perkahwinan. Iyalah, untuk seorang pelakon seperti saya cari makan pun susah apatah lagi nak suap satu lagi mulut.

“Tetapi solat istikarah sangat membantu kerana ia bukan saja dibuat tatkala timbul salah faham antara kami, tetapi hasilnya menyakinkan apabila memang tiada wajah lain yang saya nampak selain Nabila,” katanya.

Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir, 31, memilih untuk mengakhiri zaman bujangnya dengan Nabila pada majlis akad nikah yang akan diadakan 31 Mac depan.

Dua majlis resepsi bakal berlangsung iaitu di sebelah pihak pengantin perempuan pada 2 April 2017 di Kuala Lumpur manakala pihak lelaki di Pulau Pinang pada 16 April 2017.

Menceritakan keistimewaan Nabila, Sharnaaz mengakui sifatnya yang bijak menguruskan perniagaan selain mempunyai ciri-ciri isteri dicari selama ini, menjadikan hatinya terpikat kepada wanita itu.

“Untuk kaji sifat wanita itu kita lihat pada emaknya, begitu jugalah anaknya apabila tua nanti, itu yang buat saya tertarik hati padanya,” katanya.

Bagaimanapun, sebenarnya tidak mudah untuk Nabila membuka pintu hati Sharnaaz kerana kakak kepada Neelofa itu perlu menunggu setahun sebelum bakal suaminya itu memberikan reaksi.

Katanya Sharnaaz, segalanya bermula pada hari raya dua tahun lalu apabila dia terbuka hati untuk membalas mesej Nabila.

“Kejadian berlaku pada 2015 ketika hari raya apabila tiba-tiba terkenangkan Nabila yang pernah menghantar mesej bertanya khabar, namun saya tidak pernah membalasnya.

“Saya saja cuba nasib nak tengok kalau dia masih solo selain cuba mencari nombornya semula dan bibit percintaan kami bermula sejak itu, orang sibuk beraya tetapi kami pula melayan Facetime,” katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS