Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarlah apa pun kecaman peminat di Malaysia, pelakon Emma Maembong tetap yakin gaun tradisional Korea, hanbok, yang dipadankannya bersama hijab tetap dianggap menawan.

Sesiapa yang tidak pernah melihat atau memahami cara pemakaian hanbok pasti mudah bersifat menghakimi, apatah lagi sebaik melihat wanita bertudung menggayakannya.

Namun, di mata beberapa penduduk Seoul, Korea yang ditemuinya, tiada salah seorang Muslimah menggayakan pakaian kebanggaan mereka itu.

“Apabila mempamerkan pakaian tradisional Korea Selatan itu di Instagram, ramai yang mengutuk kerana tidak boleh terima apa saya pakai selain mula bertanyakan hal itu ini.

“Tetapi apabila penduduk di Seoul melihat saya mengenakan hijab dengan hanbok, gaya itu terus mendapat pujian kerana cantik. Tiada pula yang memandang serong,” katanya.

Emma berada di Seoul baru-baru ini bagi menjalani penggambaran filem romantik komedi lakonannya bersama Aiman Hakim Redza, Kimchi Untuk Awak (KUA) yang diadapatasi dari novel karya Suri Ryana.

Menurut Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 25, banyak perkara dapat dipelajari semasa berada di Korea Selatan. Antaranya budaya masyarakat di sana.

Katanya, budaya hormat menghormati sesama sendiri wajar tersimpan kekal dalam sesuatu masyarakat dan jangan dibiarkan terhakis.

“Di sana, bukan saja saya berpeluang mempelajari bahasa Korea malahan budaya dan adat resam mereka.

“Penduduk Seoul amat berbangga apabila mengetahui ada orang Malaysia menjadikan makanan kegemaran mereka sebagai simbolik filem, selain memperkenalkan hanbok melalui KUA.

“Dengan itu, secara tidak langsung masyarakat di sana menghormati kita kerana menghormati budaya mereka,” katanya.

Naskhah terbitan Astro Show dan Dark Wave Sdn Bhd yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 30 Mac lalu itu adalah pembabitan pertama Emma sebagai pelakon utama di layar perak.

Begitu juga buat Aiman. Bagaimanapun, ini bukan pertama kali Emma bergandingan dengan Aiman.

Mungkin atas sebab keserasian dipamerkan menerusi drama popular seperti Projek Memikat Suami (2013) dan Isteri Separuh Masa (2015), pengarah Michael Ang berani mempertaruhkan kedua-duanya dalam filem pertama arahannya itu.

KUA turut dijayakan oleh barisan pelakon lain seperti Janna Nick, Sharifah Sakinah, Dira Abu Bakar, Normah Damanhuri, Ungku Haris dan Dira Abu Bakar.

Sementara itu, mengulas mengenai wataknya sebaga Bella dalam KUA, Emma berkata mungkin disebabkan sifat semula jadinya membuatkan dia tidak boleh lari daripada ditawarkan watak wanita baik-baik.

Pun begitu, Emma berkata, dia tetap optimis suatu hari nanti akan ada watak lebih mencabar diserahkan kepadanya.

“Pengarah terlebih dahulu sudah bayangkan karakter yang macam mana perlu diberikan kepada seseorang pelakon, saya pula tidak boleh ubah skrip atau novel.

“Ia cuma kebetulan setiap kali berlakon, itulah jenis karakter yang saya dapat, tetapi kalau diberi peluang lepas ini, saya teringin nak pegang watak sebagai hantu,” katanya.

Lihat Komen
ADS