Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Misi Shahrol: Basmi mak cik bawang pembawa petaka

Apabila diminta menjadi sebahagian daripada selebriti yang menggerakkan kempen memerangi gejala buli siber, satu perkara terus terdetik di hati Shahrol Shiro.

Dia mahu menghapuskan geng ‘mak cik bawang.’

Kata pelakon, pelawak dan pengacara itu, dia berazam untuk berbuat demikian selepas melalui pengalaman mengecewakan menjadi mangsa buli.

Menurut Shahrol akibat tindakan segelintir penulis tidak bertanggungjawab, dia pernah dilaporkan blog tertentu kononnya meninggal dunia.

Hal itu menimbulkan kebimbangan kerana selain berdukacita, anggota keluarganya turut terganggu serta terjejas menyebabkan mereka bergegas pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor.

“Saya sebenarnya dimasukkan ke hospital bukan disebabkan mengalami kemalangan sebaliknya kerana penyakit sinus tetapi adik saya dimaklumkan kononnya saya meninggal dunia. Kelam-kabut jadinya dia," katanya.

Selain kecewa dengan khabar palsu itu, apa yang lebih merunsingkannya ialah keselamatan adiknya yang tergesa-gesa pulang ke kampung.

"Kalau dia selamat tiba syukur alhamdulillah, tapi jika sebaliknya - bukankah ia satu penganiayaan?

"Sebab itu saya nak bubarkan persatuan mak cik-mak cik bawang di media sosial,” katanya.

Sibuk nak sebar khabar

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 33, ditemui pada sidang media pelancaran Kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrol antara beberapa selebriti tempatan turut menyumbang usaha untuk menggerakkan kempen yang mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu.

Menurut Juara Raja Lawak musim keenam melalui kumpulan Shiro itu, penyebaran berita palsu adalah pengalaman terburuk pernah dialami malah tidak memahami motif sebenar individu yang menyebarkan khabar berkenaan.


Baca Usop Wilcha takkan pangkah 'dacing senget'


Oleh itu, katanya, wajar mana-mana pengguna alam siber yang menyebar fitnah dikenakan hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah.

“Geng mak cik-mak cik bawang semakin membarah dan inilah yang mengakibatkan penyebaran berita palsu begini.

“Mereka gigih mahu mendapatkan bahan dan menjalankan tugas wartawan tanpa tauliah selain berlumba-lumba menjadi yang terawal menyampaikan sesuatu berita sedangkan kesahihan berita itu tidak diketahui.

“Justeru saya berharap mak cik-mak cik bawang ini dapat dihapuskan dengan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Lihat Komen
ADS