Seni & Hiburan Malaysiakini

'Filem Jepun sudah lama jadi inspirasi filem Malaysia'

Christine Lim, Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Filem Jepun meniupkan inspirasi dan memberi impak besar kepada industri perfileman Malaysia dan di Hollywood, menurut pelakon veteran dan pembikin filem, Hassan Muthalib.

Beliau berkata sejak era kegemilangan filem-filem yang dibintangi oleh seniman agung P Ramlee sehinggalah kepada filem epik Star Wars, filem dan pengarah filem Jepun banyak memberi inspirasi dan mendefinisikan semula pawagam.

Hassan berkata filem klasik Rashomon yang dihasilkan oleh pengeluar filem Jepun, Akira Kurosawa, misalnya telah mempengaruhi antara lain filem Semerah Padi arahan P Ramlee sementara skrip Hidden Fortress dirujuk oleh George Lucas untuk menceritakan siri Star Wars.

“Ia semuanya mengenai pengkisahan cerita visual yang pawagam di Jepun sangat efektif,” kata beliau dalam ucapannya pada perasmian Festival Filem Jepun 2018 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hassan, dikenali sebagai bapa animasi Malaysia dan pencipta watak animasi Siri Sang Kancil juga menekankan bahawa filem Jepun boleh menembusi jauh kebanyakan negara dan unik kerana dapat melahirkan perasaan insan berbanding filem lain selain membangkitkan emosi di kalangan penonton tanpa memahami dialog.

"Filem Twilight Samurai arahan pengarah Jepun Yoji Yamada membuatkan penonton menitiskan air mata walaupun mereka tidak memahami dialog dan hanya membaca sarikata,” katanya.

Hassan berkata filem yang meraih Anugerah Akademi itu telah dicalonkan sebagai filem bahasa asing terbaik pada 2004.

Dalam bidang filem animasi, animasi Jepun juga telah menakluki dunia.

“Gaya animasi Jepun yang menampilkan kepelbagaian bukan sahaja disukai oleh kanak-kanak tetapi juga orang dewasa,” kata beliau.

Sementara itu, Lim Kah Wai, pengarah filem Malaysia yang berpusat di Jepun, berkata walaupun industri filem Jepun dikuasai oleh filem animasi yang semakin popular, masih terdapat pasaran bagi pemain yang mempunyai bajet yang kecil dan filem lain yang menjadi tarikan penonton.

Ketika ditemui Bernama, Lim bagaimanapun mengaku bahawa adalah sukar walaupun untuk “pemain kecil” untuk melakukan promosi dan menarik perhatian penonton tanpa bajet yang besar memandangkan pasaran filem Jepun sangat kompetitif.

Filem arahan Lim iaitu New World dan Fly Me to Minami yang penggambarannya dilakukan di Jepun, memaparkan perbezaan budaya dan bahasa antara Jepun, China dan Korea.

Kedua-dua filem tersebut akan ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih semasa Festival Filem Jepun 2018 yang berlangsung dari 6 Sept hingga 7 Okt.

Festival itu menampilkan 13 filem terbaru yang akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara termasuk Kuching dan Kota Kinabalu bagi memberi kesempatan kepada penonton untuk memahami dan mendalami budaya dan masyarakat Jepun.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Perkhidmatan Penerangan Jepun, Kedutaan Jepun, Etsuko Kurihara, berkata filem berfungsi sebagai platform bagi pertukaran budaya demi meningkatkan lagi hubungan persahabatan dan persefahaman bersama antara Jepun dan Malaysia.

Bernama