Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Abu minta maaf cerai isteri mengandung
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 11:48 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Susulan kecaman warganet, Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan memohon maaf atas perbuatan menceraikan isterinya yang sarat mengandung.

“Saya PU Abu @ Muhammad Abu Sufyan bin Mokhtar Rozaidi memohon maaf di atas kesalahan menceraikan isteri saya ketika mengandung dan saya amat menyesali atas ketelanjuran saya lakukan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Bagaimanapun, hantaran itu telah diturunkan selepas disiarkan lebih kurang satu jam.

Mengulas lebih lanjut, PU Abu juga mengaku telah bersikap tidak adil dalam melakukan keputusan tersebut.

“Saya meminta maaf kepada bekas isteri @ainafini_ dan keluarga mereka kerana berlaku sikap tidak adil terhadap mereka.

“Moga saya mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Semalam, media melaporkan pendakwah bebas itu mengaku dengan dakwaan yang mengatakan dia menceraikan isterinya, Ain Afini yang sarat mengandung tujuh bulan.

Tangkap layar kenyataan PU Abu yang sudah dipadam tidak lama selepas dinaikkan.

Pengakuan itu dibuat susulan perkongsian Ain di media sosial selepas sah diceraikan bekas suaminya itu.

“Pada 13.3.2019 saya telah dilepaskan dan ditinggalkan oleh bekas suami saya PU Abu Sufyan kerana beliau memilih untuk menikahi seorang janda bernama Hana Azraa,” kata Ain menerusi laman Instagram.

Sementara itu, dalam kenyataan maaf yang sudah diturunkan itu, PU Abu berkata dia akan berbincang dengan bekas isteri untuk hal selanjutnya dan memohon agar orang ramai berhenti mengecam pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Dalam perkembangan sama, bekas isterinya juga menyeru netizen supaya tidak membuat spekulasi tersendiri dan mengutuk pihak keluarga PU Abu.

“Dengan rendah hati saya mohon jangan melibatkan keluarga mertua dan arwah ummi mertua saya.

“Saya sudah menjelaskan pihak keluarga mertua adalah orang yang paling utama membantu dalam hal ini.

“Jagalah adab sebelum memberikan komen. Letakkan akal dah hati pada tempat pertama,” katanya menerusi laman Instagram.

Ain juga telah menjelaskan bahawa kenyataanya sebelum ini bertujuan untuk menjelaskan status hubungannya sahaja.

 

Lihat Komen
ADS