Mahkamah tolak rayuan bekas rektor Aswara
Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Dr Mohd Rizon Juhari berhubung kes fitnah membabitkan bekas pegawainya.
Peguam Sivanesan Nadarajah daripada Tetuan Vicknaraj, R Dratnam, Rajesh Kumar & Associate berkata, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menolak permohonan Mohd Rizon selaku defendan pada 17 Jun lalu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Mahkamah Tinggi menolak rayuan Dr Mohd Rizon Juhari, mantan Rektor Aswara yang melibatkan kes fitnah bekas Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Aswara, A'eshah Ahmad @ A Tambi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Pada prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir dan hanya diwakili peguam masing-masing.
Sivanesan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen N Kanageswari pada 27 September lalu.
Bekas pegawai kanan institut pengajian tinggi itu sebelum ini diarah membayar ganti rugi RM70,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen N Kanageswari dalam kes saman sivil difailkan A'eshah selaku plaintif.
Mahkamah menetapkan Mohd Rizon perlu membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000, ganti rugi teladan RM20,000.
Dia juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.
Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 30 Mac, A'eshah mendakwa defendan beberapa kali membuat kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual.
Defendan juga didakwa membuat kenyataan atau tindakan bersifat tidak benar dan fitnah bertujuan merendah-rendahkan maruah dan reputasi plaintif serta memburuk-burukkan namanya dalam satu mesyuarat tertutup yang membincangkan tatatertib kakitangan Aswara.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur merujuk kes tersebut sebagai fitnah dan bukan kes gangguan seksual.
Mahkamah Tinggi juga menetapkan kes tersebut adalah kes fitnah. Tiada alasan penghakiman diberikan.

