Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Usahawan barangan kecantikan Nur Sajat Kamaruzzaman mendakwa mengalami kerugian teruk angkara produk diusahakannya diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

Nur Sajat berkata ia disebabkan wujud pihak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atas angin dengan menjual produk 'Let's Bengkung Sajat Diamond Gold' lebih murah berbanding harga asal.

Katanya, sebanyak 26 stokis dan ramai lagi ejen tidak dapat menjual produk yang sudah berada empat tahun di pasaran itu akibat persaingan dan permintaan tinggi untuk hasil tiruan.

“Selepas mendapati produk ditiru, kami cuba mengeluarkan bungkusan baru, tetapi setiap kali itu ia ditiru. Pihak terbabit mengeluarkan hampir 15,000 produk itu setiap bulan.

“Ia menjadi berleluasa hingga ada dijual menerusi platform e-dagang dengan harga lebih murah daripada di HQ (ibu pejabat) dan stokis berdaftar,” katanya.

Nur Sajat ditemui di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini.

Nur Sajat turut memberi amaran bahawa pembeli berisiko tinggi untuk mengalami kecederaan sekiranya mereka terjebak membeli barangan tiruan.

“Saya dimaklumkan beberapa pengguna menjadi mangsa selepas mereka mengalami kecederaan pada badan.

“Ia disebabkan besi bengkung yang digunakan terkeluar hingga mencucuk tubuh si pemakai.

“Saya tak akan bertanggungjawab kepada pengguna yang membeli barangan tiruan,” katanya.

Tambah Nur Sajat, terdapat perbezaan ketara pada produk tulen dengan tiruan dari segi kotak, logo, jahitan, tag, tulisan dan kain yang digunakan.

Susulan itu, Nur Sajat mendakwa, pihaknya telah membuat beberapa pemantauan dan pemeriksaan serentak di dua buah premis di Sungai Udang, Klang serta Chow Kit.

Ia dibuat selepas menerima aduan terdapat penghasilan produk tiruan jenamanya.

Kata Nur Sajat, dia sepatutnya boleh menjual 20,000 helai bengkung sebulan, namun kini mengalami kerugian antara 60 hingga 70 peratus.

Justeru, Nur Sajat menggesa supaya pihak tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan itu sekiranya tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

“Tolong hentikan jual produk tiruan jenama yang ada wajah saya. Kalau tak, hadaplah nanti…,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Negeri KPDNHEP, Azeem Nazuri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas aduan Nur Sajat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Lihat Komen
ADS