Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Yasin Sulaiman mendakwa pintu rezeki penyanyi ketika ini semakin sempit ekoran ruang untuk mengadakan persembahan pentas dalam acara kerajaan semakin berkurangan.

Justeru Yasin yang mula dikenali dengan kumpulan Brothers itu berharap kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada artis tanah air untuk mengadakan persembahan bagi memeriahkan program atau majlis keraian.

“Bidang kesenian masih kurang perhatian. Program kerajaan pula tak diserikan dengan persembahan artis atau kurang babitkan sektor kebudayaan.

"Kalau boleh, kerajaan beri lebih banyak peluang kepada artis, libatkan kami apabila mengadakan program seperti sambutan Aidilfitri.

“Buatlah slot untuk persembahan dan undanglah artis,” katanya kepada Malaysiakini.

Yasin ditemui pada majlis pengumuman Konsert Great Amal Fest di Mutiara Damansara baru-baru ini.

Yasin, 43, turut membandingkan situasi dunia seni semasa negara ini ditadbir BN - sejak merdeka - sehingga mereka disingkirkan pengundi pada 9 Mei 2018.

Hal perlu diatasi

Pilihan raya umum tahun lalu kemudian membuka jalan kepada PH menjadi kerajaan pusat, serta sebahagian besar kerajaan negeri.

Kata Yasin, sewaktu BN menjadi kerajaan, artis sering dilibatkan dalam acara melalui program kesenian.

“Sekarang kurang sikit, sedangkan artis kita ramai perlukan sokongan dalam bab itu.

“Artis pun perlu diberi perhatian juga,” tambahnya lagi.

Yasin bagaimanapun mengaku dia sedia maklum kerajaan sekarang mengalami masalah kekurangan dana kerana dibebani hutang negara melebihi RM1.0 trilion ditinggalkan kerajaan BN.

Untuk rekod, April lalu, Bernama melaporkan peratusan hutang negara berkurang berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyelesaian beberapa hutang.

“Ya, perkara itu memang perlu diatasi,” katanya.

Namun, menurut penyanyi lagu Mimpi Laila itu, gesaannya terhadap kerajaan hanya satu permintaan ‘kecil.’

“Dunia seni tanah air tidak besar mana, kalau perlu dibantu, saya rasa tak banyak kos perlu dikeluarkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS