Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menafikan sekeras-keras dakwaan bahawa badan itu masih diurus tadbir dengan cara lama.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham, bahkan menolak kenyataan pengkritik yang menuduh agensi terbabit gagal dipersiapkan untuk program jangka panjang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Idham menjelaskan, Finas sudah menyediakan beberapa pelan strategik dan bakal diumumkan pada waktu bersesuaian.

“Finas sudah siap dengan pelan jangka masa pendek dan panjang untuk sekarang hingga tempoh lima tahun akan datang, cuma ia belum boleh dibentangkan lagi kerana masih dalam proses pelaksanaan perancangan.

“Ia akan diumumkan oleh Menteri (Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo) dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan kenyataan seorang pengarah dan penulis lakon layar, Al Jafree Md Yusop, yang mendakwa pentadbiran Finas masih berada di takuk lama.

Hal itu, katanya, masih berlanjutan walaupun selepas barisan kepimpinannya ditukar baru iaitu selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pusat.

Bantu industri Sabah, Sarawak

Jelas pengarah Melur vs Rajawali itu lagi, Finas lebih menumpukan soal pemberian dana berbanding perkara-perkara asas yang sepatutnya selaras dengan peranan mereka sebagai sebuah agensi seni yang memayungi industri.

Al Jafree turut menekankan Finas wajar membangunkan kemudahan mengakses filem klasik melalui arkib filem nasional selain menyokong penggiat filem berskala kecil (indie). 

Mengulas isu tersebut, Ahmad Idham, 45, berkata sebenarnya kedua-dua program tersebut hampir dilaksanakan tidak lama lagi.

“Dah ada dan hampir nak dijalankan dah, suma dia (Al jafree) saja tak tahu,” katanya.


Baca Tulus Ikhlas filem 'kerdil' menyentuh rasa


Berkongsi lanjut, pelakon dan pengarah itu berkata, program berkaitan arkib filem nasional yang bakal dilaksanakan itu dinamakan Mediatheque, manakala program untuk membantu pembuatan filem berskala kecil sebagai Program Inkubator Indie.

Pada masa sama, Ahmad Idham berkata, Finas sudah meluluskan dana kandungan digital sebanyak RM4 juta, khusus untuk disalurkan bagi merancakkan pembangunan industri kreatif di Sabah dan Sarawak.

"Apabila menduduki kerusi Finas, salah satu mandat saya adalah untuk membantu penggiat seni tempatan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Selain itu menurutnya, Finas juga sudah menggerakkan Perumahan Komuniti Seni Harapan bagi menjamin kesejahteraan dan melindungi kebajikan penggiat seni.

Lihat Komen
ADS