Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada apa dengan Finas lepas 100 hari di bawah Ahmad Idham, Hans Isaac?

Selepas lebih 100 hari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mendapat nakhoda baru, rasa tidak puas hati tetap kedengaran terhadap cara badan itu yang dianggap masih diurus dengan cara lama.

Menurut pengarah dan penulis lakon layar, Al Jafree Md Yusop, pendekatan diambil Finas di bawah pentadbiran baru ketika ini tidak ditumpukan bagi membangunkan asas agensi itu untuk jangka panjang.

“Yang penting sekarang, macam perkara-perkara asas sebagai badan filem itu tak dibuat.

"Pertama, Finas sebagai agensi seni, dan kedua sebagai payung industri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebaliknya, dakwa Al Jafree, fokus Finas dilihat lebih tertumpu kepada soal pemberian dana kepada pembikin filem.

“Memang memberi dana tu dah betul untuk majukan industri filem tapi perlu lihat dari sudut lain juga.

“Pendekatan yang ada tidak sesuai dan masih tak berubah, mereka hanya ingat ada satu cara (untuk membangunkan perbadanan) itu saja - iaitu dengan memberikan dana.

“Ini perkara sama yang sudah diutarakan oleh peneraju Finas yang terdahulu,” katanya.

Selepas PH mengambil alih tampuk kerajaan pusat, Finas mendapat nakhoda baru, iaitu Ahmad Idham dan Hans Isaac, masing-masing sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengerusi.

Bagaimanapun pelantikan tersebut dikecam hebat sesetengah pihak yang meragui kemampuan kedua-dua mereka membawa pembaharuan kepada Finas.

Justeru, Al Jafree menekankan, Finas wajar mempunyai perancangan sekarang, termasuk menyediakan kemudahan untuk mengakses filem klasik.

“Finas harus sediakan arkib filem nasional. Apabila kita nak tonton filem Istana Berdarah terbitan 1964 misalnya, kita tak tahu nak dapatkan di mana.

“Hal itu berbeza di negara lain. Di Amerika misalnya, senang saja nak tonton filem klasik mereka kerana di sana ada pihak bertanggungjawab menguruskan karya sedemikian.

"Tapi Finas sampai sekarang tak buat-buat lagi,” katanya.

Selain itu, kata pengasas Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) itu, Finas perlu memberikan sokongan dari segenap sudut kepada pembikin filem berskala kecil (indie) yang bergelut mendapatkan - antaranya - modal, pasaran dan promosi.

Katanya, dengan bantuan dan strategi yang betul pembikin filem mandiri mampu mendapat tapak dan melangkah dengan lebih jauh.

“Kalau kita tengok Christopher Nolan, Quentin Tarantino dan Ryan Coogler semua pernah bikin filem indie.

"Mereka tak datang dalam industri terus buat filem berskala besar,” katanya.

Beri ruang buat kerja

Namun, lain pula halnya dengan pengarah Erma Fatima yang beranggapan masih terlalu awal untuk melihat perubahan berlaku di Finas.

Meskipun mengaku masih belum nampak sebarang penambahbaikan ketara berlaku dalam Finas, Erma, 51, memilih untuk mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Bukan mudah untuk menukar sesuatu, tak boleh guna konsep petik jari semua berubah, terutama untuk tukar seluruh sistem,” katanya.

Seorang lagi pengarah, Aziz M Osman, turut menyuarakan pandangannya berhubung kepimpinan Finas ketika ini.

Bersetuju masih belum melihat sebarang perubahan ketika ini, Aziz juga mengambil pendekatan sama seperti Erma.

“Selagi tak berlaku kerosakan besar, bagi ruang mereka buat kerja dulu,” katanya.

Namun, Aziz, 56, mengaku kekecohan dan kritikan terhadap Finas sekarang berlaku ekoran terdapat suara-suara kecaman kedengaran di sana sini selepas ia 'ditapis' suatu ketika dulu.

“Biasalah, bila berlaku pembaharuan, pasti ada tak setuju dan menentang, tapi ini negara demokrasi, kalau tak setuju mereka boleh tolak,” katanya.


Lihat Komen
ADS