Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
James Cameron raikan penguasaan Endgame
Diterbitkan:  Jul 23, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: Jul 24, 2019 5:01 AM

Meski pun ia bermakna rekodnya terpadam, pengarah Avatar, James Cameron, mengucapkan tahniah kepada naskhah Avengers: Endgame semalam selepas filem itu mencatatkan kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah.

Rekod tertinggi sebelum ini dimiliki oleh Avatar.

Avengers: Endgame mengakhiri penguasaan Avatar sejak 10 tahun lalu apabila mencatat kutipan AS$2.7902 bilion (RM11.50 bilion) di seluruh dunia pada 21 Julai lalu.

"Oel ngati kameie, I see you Marvel," tulis Cameron menggunakan bahasa Na'vi yang menjadi watak dalam filem Avatar.

Dipetik AFP, Cameron kemudian turut menulis: "Tahniah Avengers: Endgame kerana menjadi raja baru pecah panggung," ciapnya dalam Twitter sambil diiringi imej watak hero Marvel, Iron Man.

Avatar yang mula ditayangkan pada 2009 mengumpul AS$2.7897 bilion (RM11.49 bilion) di seluruh dunia. Jumlah itu termasuk tayangan asal dan terbitan semula.

Ia memecahkan rekod yang dipegang satu lagi filem hasil tangan Cameron, iaitu Titanic yang bertakhta selama 12 tahun.

Cameron ketika ini sedang menyiapkan empat lagi sekuel Avatar dan dijangka mengeluarkan edisi pertama pada Disember 2021 dan kelima pada penghujung 2027.

Avatar dan Avengers: Endgame kini dimiliki Disney selepas pengambilalihan daripada 21st Century Fox sebelum ini.

Lihat Komen
ADS