Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Francissca Peter: Kami rakyat M'sia, ini rumah kami
Diterbitkan:  Aug 18, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Penyanyi veteran terkenal Francissca Peter menggesa seluruh artis Malaysia tidak kira bangsa dan agama supaya bersolidariti menolak kenyataan berbaur perkauman oleh individu tertentu.

“Saya menggesa artis Malaysia dari pelbagai latar belakang dan agama untuk bersatu mengutuk serangan kebencian berbaur perkauman terbaru oleh individu bukan warganegara Malaysia yang mempersoalkan kesetiaan orang Cina dan India rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Meskipun tidak menyebut secara khusus nama individu tersebut, ia dipercayai merujuk kepada penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, yang baru-baru ini menimbulkan kemarahan masyarakat apabila menyifatkan orang Cina warga negara Malaysia sebagai "tetamu lama" di negara ini, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

“Ini adalah rumah kita dan kita adalah rakyat (Malaysia) - Orang Asal, kumpulan etnik bumiputera dari Sabah dan Sarawak, Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Kami semua rakyat Malaysia. Kami akan berusaha untuk bersatu dalam kemajmukan sebagaimana yang telah dan sentiasa kami lakukan. Jangan ada yang memusnahkannya!” Kata Francissca.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012 turut mempersoalkan penganut Hindu di Malaysia yang didakwa lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Penyanyi “Kerna Terpaksa” itu menjelaskan mana-mana individu yang mempersoalkan perkara itu sebagai merosakkan keharmonian antara kaum di Malaysia, meluahkan rasa kecewanya apabila seseorang yang bukan rakyat Malaysia dibenarkan melemparkan kata-kata sedemikian terhadap kaum Cina dan India di negara ini.

“Saya amat sedih apabila seseorang yang bukan rakyat Malaysia dibenarkan sewenang-wenangnya mengutuk dan mengeluarkan kata-kata kebencian terhadap kaum Cina dan India di Malaysia.

“Saya yang mempunyai latar belakang campuran India dan Cina, di mana kedua-dua ibu bapa saya lahir di Malaysia dan kami sangat patriotik terhadap negara kami.

“Saya lahir di Selangor dan saya merupakan generasi ketiga Malaysia. Kita perlu tahu yang ramai rakyat Malaysia yang jujur dan rajin bekerja dari pelbagai bangsa dan agama menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS