Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Anugerah bukan untuk buang atau naikkan sesiapa’
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 12:33 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Prof Dr Muhammad Haji Salleh mempertahankan penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, iaitu Prof Dr Siti Zainon Ismail yang diumumkan Kementerian Pendidikan semalam.

Sasterawan negara keenam itu berkata, Siti Zainon ialah calon yang paling layak dan tepat untuk menerima gelaran tersebut.

“Saya telah terlibat dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara lebih daripada 10 kali.

“Atas kapasiti sebagai pengkaji, penulis dan pengkarya sastera, saya arif dengan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek mengumumkan penyair, penulis dan pelukis itu sebagai sasterawan negara ke-14 dalam satu sidang media khas diadakan di Putrajaya.

Dr Siti Zainon Ismail 

Maszlee berkata, pemilihan Siti Zainon dibuat antaranya berdasarkan sumbangan beliau melalui karya, pemikiran dan sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Bagaimanapun, tokoh Sasterawan Perak, Dr Malim Ghozali PK atau nama sebenarnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid menyifatkan pemilihan sasterawan negara ke-14 itu sebagai samun di siang hari.

Malah Malim mendakwa, pemilihan Siti Zainon dibuat selepas terdapat campur tangan politik selain berkata, dua panel hakim yang terlibat tidak mempunyai kepakaran.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pencapaiannya dalam bidang sastera tidak cukup memberikan apa-apa kelebihan kepadanya dalam pemilihan berkenaan.

Malim Ghozali PK 

Namun, Muhammad sebaliknya berkata, anugerah berkenaan “bukanlah sebuah anugerah untuk membuang seseorang dan menaikkan seseorang yang lain”.

Mengulas kelayakan Siti Zainon, Muhammad berkata, wanita itu telah membawa sastera Malaysia ke pelbagai bahagian dunia.

“Bukan sahaja Asia Tenggara, bahkan ke Eropah, Rusia dan Jepun. Usia kepengarangan beliau juga lebih lama,” katanya.

Lihat Komen
ADS