Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Pemilihan Sasterawan Negara samun siang hari'
Diterbitkan:  Sep 3, 2019 9:51 PM
Dikemaskini: Sep 4, 2019 6:24 AM

Penerima anugerah SEA Award 2013 Dr Malim Ghozali PK atau nama sebenarnya Mohamed Ghazali Abdul Rashid menyifatkan pemilihan Sasterawan Negara ke-14 sebagai samun di siang hari.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Malim berkata pemilihan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 dicemari campur tangan politik.

"Reaksi saya, samun di siang hari. Tentu sekali saya tidak dapat menerimanya," katanya.

Malim yang merupakan Tokoh Sasterawan Perak pada 2014 memberi gambaran bahawa panel hakim yang membuat pemilihan telah ditambah dua orang yang "tiada kepakaran".

"Tanda-tanda akan berlaku penyelewengan terhadap keputusan panel hakim sudah kelihatan sejak Mac 2019. Dan ia menjadi kenyataan pada 9 Ogos lalu.

"Kalau dah nampak nak kalah, ubah tiang gol itu biasa, tapi kalau sudah kalah, diarah main semula dan ditambah dua orang referee (pengadil) yang tiada kepakaran, ini luar biasa!

"Pengumuman media Sasterawan Negara ke-14 terpilih 'secara sebulat suara' dibuat oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28 Mac 19. Enam bulan dulu. Apa terjadi selepas itu?" soalnya.

Sorot pencapaian

Malim turut mempersoalkan sama ada pencapaiannya dalam bidang sastera tidak cukup memberikan apa-apa kelebihan kepadanya dalam pemilihan berkenaan.

"Sebagai calon yang paling tinggi pencapaian, di dalam dan di luar negara, saya melihat ini sebagai suatu tirani sastera, suatu penganiayaan sastera bentuk baru. Apakah dengan memenangi 36 kali hadiah dan anugerah tidak membuktikan apa-apa?

"Hanya saya seorang penulis sastera Melayu yang telah memenangi hadiah puisi di peringkat dunia dan novel saya tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh IMPAC Dublin International Book Award, 2016. Adakah ini tidak memberikan sedikit pun kelebihan?

"Kalau ada orang atasan yang menolak saya, saya nak tahu kenapa?" katanya.

Novel keempat Malim, Luka Nering dilapor mencatat sejarah sebagai novel Melayu kedua berjaya menembusi pasaran China selepas novel ‘Salina’ karya Sasterawan Negara Samad Said.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Malim menegaskan bahawa beliau tidak kisah tidak dipilih menjadi Sasterawan Negara ke-14, namun mempersoalkan cara panel hakim membuat pemilihan.

"Saya bukan tak boleh terima kekalahan tetapi cara keputusan itu dibuat," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Malim turut berkata bahawa beliau hilang kepercayaan dengan pemilihan berkenaan dan akan membongkar hal sebenar di sebalik keputusan anugerah berkenaan.

"Kita kena faham hak bukan mutlak sifatnya. Ia datang dengan tanggung jawab. Waima menteri sekali pun!

"Ketika aparatus sastera sudah dipolitik, dimanipulasi dan diselewengkan, saya sudah hilang kepercayaan terhadapnya sama sekali. Kita hendak mencari apa sebenarnya? Sasterawan Negara atau SNPB (Sasterawan Negara Pintu Belakang)?

"Saya tercium bau tikus. Saya akan gali lubang tikus-tikus ini sampai ke dasarnya. Ingat, Allah melihat segala perbuatan jahat," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengulas perkara ini.

Selepas tercetusnya pelbagai spekulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan, Siti Zainon yang merupakan penulis, penyair dan pelukis sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek berkata, pemilihan Siti Zainon yang membawa gelaran Sasterawan Negara itu dibuat berdasarkan sumbangan beliau melalui karya, pemikiran dan sumbangan terhadap perkembangan sastera.

Lihat Komen
ADS