Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyedia perkhidmatan penstriman hiburan Aflix TV menjelaskan, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, baru-baru ini adalah sekadar kunjungan hormat.

Pegawai Eksekutif Aflix TV, Azman Shah Shaharuddin, berkata lawatan dibuat kerana pihaknya ingin memaklumkan rancangan mereka membangunkan platform berkenaan yang dijangka dilancarkan awal tahun depan.

Katanya, ia tidak ada kaitan dengan usaha untuk memberi laluan istimewa kepada Aflix atau menjatuhkan pesaing lain.

“Tujuan Aflix TV hadir ke Finas hanya sekadar kunjungan dan bagi memperkenalkan platform kami yang menyediakan kandungan hiburan beretika,” katanya kepada Malaysiakini.

Azman, 34, mendakwa setakat ini Finas dilihat menunjukkan sikap positif namun badan itu belum memberikan apa-apa persetujuan secara bertulis.

“Kunjungan kami sekadar mahu menguar-uarkan platform Aflix TV kepada Finas, dan mereka turut berkongsi kebimbangan mengenai isu cetak rompak yang kami perlu usahakan untuk ditangani.

“Tapi, memang terdapat salah faham kenyataan yang dimuat naik pada platform media sosial kami, dan ini akan diperbetulkan semula,” katanya.

Kandungan bernilai dari Finas

Terdahulu, tersebar spekulasi mendakwa Ahmad Idham mempunyai motif tertentu - di sebalik pertemuannya dengan Aflix TV yang berlangsung pada 30 Sept lalu.

Pengarah filem Pencuri Hati Mr Cinderella itu pada awalnya dipetik Bernama sebagai menggesa kerajaan untuk mengawal selia kandungan Netflix.

Bagaimanapun, Ahmad Idham kemudian mendakwa terdapat salah faham mengenai kenyataannya itu dan menjelaskan Finas tiada kuasa untuk menapis isi kandungan digital. 

Menurutnya, Finas sebenarnya merancang untuk memperbanyakkan program tempatan dan kempen dalam memberi kesedaran serta mendidik pemain industri tentang kepentingan tanggungjawab bersama memaparkan kandungan yang boleh menjana minda masyarakat. 

Ahmad Idham

Ahmad Idham bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas lanjut isu berkenaan.

Azman berkata, perbincangan mereka dengan Ahmad Idham juga merangkumi kandungan yang boleh disalurkan Finas dan tidak terdapat di tempat lain.

“Finas dilihat kaya dengan sumber kandungan bercorak hiburan yang dirasakan bersesuaian untuk dimuat naik pada platform kami.

“Selain filem, Finas memiliki sumber arkib yang banyak. Misalnya dokumentari mengenai pembentukan Malaysia. Ia kandungan lama dan sukar untuk dicari di tempat lain,” katanya.

Mengulas Aflix TV yang digambarkan menawarkan kandungan beretika, Azman berkata, perjuangan mereka bertumpu kepada pembangunan ummah.

Menurutnya, terpulang kepada orang ramai sama ada untuk memilih atau pun tidak menyokong platform berkenaan.

“Kami tak sokong untuk tapis atau haramkan Netflix. Cara mereka berbeza. Tapi apa yang kami sediakan semuanya mengandungi kandungan beretika.

“Sekurang-kurang apabila ditanya di akhirat nanti, kami boleh menjawab bahawa kami sudah sediakan kandungan beretika dan selainnya terserah kepada penonton untuk memilih,” katanya.

Lihat Komen
ADS