Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sepatutnya boleh mencari pendekatan lain untuk menyelesaikan isu seorang selebriti yang didakwa menghasut netizen, bukannya melatah serta mengadu kepada polis.

Menurut Aqasha, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) - yang boleh menimbulkan banyak tekanan kepada ramai orang - dilaksanakan, lebih baik jika Seniman berbincang terlebih dahulu dengan ahlinya atau pihak yang terbabit bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Artis buat kecoh buat apa? Baik duduk semeja cari jalan penyelesaian supaya boleh tutup isu begini dengan segera.

“Sekarang tengah berkecamuk tapi buat macam ni takkan bagi jalan penyelesaian yang positif baik untuk pihak yang mencaci atau pun yang dicaci.

“Bagi saya, sebelum buat laporan polis tu duduk semeja agar dapat urus secara dalaman untuk cari penyelesaian secara tertutup,” katanya.

Dia yang memiliki nama sebenar Firdee Akassya Rosli itu berkata demikian dalam satu siaran langsung di akaun Instagram pengarah serta pelakon Nam Ron malam tadi.

Dalam sesi berkenaan, Nam Ron - atau nama asalnya Shahili Abdan - mengajukan soalan mengenai kewajaran artis bergaduh sesama sendiri sewaktu semua orang berdepan tempoh sukar dalam PKP.

Nam Ron juga bertanyakan soalan mengenai kewajaran Seniman berkongsi perkembangan yang tidak bersesuaian di media sosial untuk tatapan umum.

Ada datang menangis mengadu

Misalnya, kata Nam Ron, memaklumkan mereka membuat laporan polis yang boleh dianggap memanjangkan lagi isu tersebut.

Semalam, Seniman memfailkan laporan polis ke atas seorang selebriti wanita yang didakwa merakam video berbaur hasutan dan dituduh mahu melaga-lagakan penggiat seni tanah air dengan netizen.

Selebriti wanita terbabit sebelum ini memuat naik video mengecam tindakan beberapa rakan penggiat seni lain yang meminta agar mereka diberikan bantuan khusus ekoran terjejas dengan kesan PKP.

Tindakan selebriti itu dikatakan bagi meraih perhatian supaya dia boleh menjalankan perniagaan di Instagram miliknya.

Seniman juga mendakwa, memang ada penggiat seni yang datang menangis sambil mengadu nasib kerana tertekan serta kecewa dengan penularan video tersebut.

Mengulas perkara itu, Aqasha menyarankan, apabila ditimpa sesuatu musibah, semua pihak hendaklah jangan terlalu cepat melatah.

“Ni nampak benda mengguris perasaan, kita melatah, mula menggelabah panik, dan cakap bukan-bukan. Ini semua keruhkan lagi keadaan,” katanya.

Pada masa sama, Aqasha, 37, berkata sekiranya selebriti wanita terbabit ingin bertindak memperbaiki keadaan, dia sewajarnya mengatasi isu berkenaan melalui pendekatan secara diplomasi.

“Saya tak fikir cara tu sebagai diplomasi. Kita sepatutnya tunjukkan mempunyai pendapat yang bernas. Jika guna kaedah penderaan lisan, saya rasa kita tak bagi impak positif pada masyarakat,” katanya.

Patut tunggu dulu

Sementara itu, mengulas bantuan khusus untuk penggiat seni dicadangkan Seniman, Aqasha berkata, persatuan itu sewajarnya tidak terburu-buru mengusulkan sesuatu.

Katanya, Seniman juga perlu melihat dari sudut pandang berbeza terutama keutamaan perlu disalurkan kerajaan buat golongan yang lebih terjejas seperti gelandangan.

“Kita faham penggiat seni putus rezeki, tapi masih ramai masyarakat yang perlu bantuan dan perhatian kerajaan seperti gelandangan. Mereka ni rumah pun tak ada, apatah lagi dapur.

“Saya akui penggiat seni ada yang susah, tapi tak adalah sampai tak ada bumbung nak tidur, atau tidur di jalanan, dan masih tidur atas katil dan boleh pasang penyaman udara.

“Seniman wajar tunggu dulu biar kerajaan buat kerja, baru suarakan apa yang perlu untuk industri,” katanya mengenai usul dibawa Seniman sebelum kerajaan mengumumkan pakej rangsangan baru-baru ini.