Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon Keluarga Iskandar 'terpenjara' di Malayan Mansion

Bagaikan tiba-tiba berada di dalam penjara - begitu kesedihan yang dapat digambarkan pelakon Keluarga Iskandar, Mohd Sobri Anuar Tarmizi, apabila rumah ditumpanginya yang terletak di bangunan Malayan Mansion dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

Kata Sobri, dia tidak dapat membayangkan bagaimanakah nasibnya nanti apabila terpaksa menempuhi hari-hari yang akan datang selepas ‘terperangkap’ di sebuah ruang yang amat kecil saiznya.

“Dianggarkan ruang di sini boleh muat untuk lima orang tidur saja, begitulah besar bilik ni. Sedih, sebab saya rasa dah macam duduk dalam penjara.

“Sebelum ni dua minggu jalani perintah kawalan pergerakan (PKP) di rumah sendiri pun macam dah nak naik gila, apatah lagi di ruang kecil sebegini,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Sobri, 43, dia akan menumpang bermalam di rumah rakannya yang terletak di Jalan Masjid India itu sekiranya mempunyai urusan hingga lewat malam.

“Saya tak tahu langsung ada PKPD bakal dilaksanakan di situ. Saya baru tiba di sini waktu malam sebelum arahan tersebut dikuatkuasakan pada keesokan hari.

“Saya bangun pagi, ingat nak pergi kerja dan bersarapan, tahu-tahu dan tak boleh keluar, mereka (pihak berkuasa) dah pasang pagar,” katanya yang menetap di Taman Ukay Bestari, Ulu Klang, Selangor.

Tak percaya naik lif

Menambah kesukaran, katanya, dia - yang kini mengalami gejala demam sejak Isnin - tidak mempunyai barang keperluan seperti makanan, ubat-ubatan mahupun tempat untuk memasak.

“Saya jalani saringan pengesanan Covid-19 dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Untuk makanan pula, saya terpaksa bergantung kepada rakan-rakan atau keluarga untuk datang hantar makanan. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang bertanyakan khabar selain menyumbangkan makanan hari ni,” katanya.

Menceritakan situasi di flat tersebut, Sobri berkata, dia diselubungi perasaan bimbang hingga sanggup menaiki tangga berbanding menggunakan lif untuk sampai ke rumah yang terletak di tingkat lapan itu.

“Dalam satu bangunan yang dah ada beberapa kes positif Covid-19, kalau ada yang batuk akan cetuskan rasa bimbang inikan pula selesema dan demam.

“Tak berani nak naik lif, lebih baik naik tangga. Rasa macam lif dah jadi pusat penyimpanan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Sobri berkata, ibunya, Fauziah Abdullah, 64, adalah individu yang paling terkesan dan sering berasa bimbang akan keselamatan dirinya ketika ini.

Menurutnya, ibunya akan membuat panggilan setiap setengah jam sekali untuk bertanyakan khabar.

“Mak saya akan hubungi setiap setengah jam kerana bimbang dengan keadaan saya yang makan pun tak menentu,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini mengenai wabak Covid-19 di Malaysia secara percuma disediakan Malaysiakini di sini.

Lihat Komen
ADS