mk-logo
Seni & Hiburan
Shahrol kecam Sheikh Umar bangkit isu isytihar harta
Diterbitkan:  Apr 13, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Shahrol Shiro mengecam Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali yang disifatkannya tidak sensitif dengan kebajikan rakyat, mendakwa Adun Paloh itu lebih mengutamakan soal berpolitik ketika negara berjuang mengekang penularan Covid-19.

Kata pelakon dan pelawak itu, tindakan Sheikh Umar mempersoalkan janji isytihar harta oleh PN selepas genap sebulan memerintah bagaikan muncul tidak kena pada waktunya.

“Lama tak tulis berbaur politik dan lama aku tak mencarut. Wahai Sheikh Umar Ali, Adun Paloh sekarang ada tangan yang mengundi engkau suatu ketika dulu tidak dapat menyentuh makanan.

“Ada mulut-mulut berbicara baik tentang engkau dulu hingga kau menang tak merasa nasi masuk ke mulut mereka.

“Ada air mata mengalir kegembiraan sewaktu kau menang dulu sekarang ni mengalir kesedihan kerana kesusahan yang dihadapi,” katanya di media sosial hari ini.

Semalam, Sheikh Umar membangkitkan pada 12 April 2020 sudah genap sebulan dari tarikh pengumuman dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan arahan pengisytiharaan harta anggota kabinet PN kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana menteri memberikan tempoh sebulan kepada jemaah menteri berbuat demikian.

Sheikh Umar berkata gesaannya itu amat penting bagi memastikan kerajaan (PN) terus kekal berada atas paksi integriti dan berlandaskan prinsip ketelusan sepanjang tempoh pentadbirannya.

'Lagi mudah dari lantik pemimpin PN ke GLC'

“Saya cukup yakin dan percaya, meskipun negara sedang berhadapan pandemik Covid-19, ia tidak menghalang perdana menteri dan kabinetnya meneruskan proses pengisytiharan harta ini.

"Pada hemat saya, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar," katanya.

Menjelaskan lanjut, bekas exco Johor itu berkata pengisytiharan harta MP "bukanlah sesuatu yang terlalu sukar" dibuat berbanding dakwaan usaha pentadbiran PN yang sedang melantik anggota parlimen dan pemimpin partinyanya ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Bahkan, ia lebih mudah berbanding urusan kerajaan yang lain, contohnya proses mengagihkan jawatan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan-badan Berkanun kepada pemimpin-pemimpin Umnodan PAS khususnya," kata Sheikh Umar lagi.

Bagaimanapun, menurut Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, pada ketika ini Sheikh Umar sewajarnya menghormati perjuangan global menentang Covid-19 dengan melupakan perbezaan politik masing-masing.

“Dalam keadaan hari ini, sedang satu dunia berlawan menentang Covid-19 tapi kau menentang musuh politik kau.

“Lupakanlah dulu seketika politik ini wahai Sheikh Omar. Fikirkanlah soal rakyat. Bantu mereka,” katanya.

Untuk rekod, Shahrol, 35 pernah berkempen untuk Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019 dan di Kimanis, Sabah Januari lalu.

Jelas Shahrol lagi seseorang yang bijak tidak akan mengganggu jika tidak boleh membantu dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Ingat pesan orang bijak. Jika tak boleh membantu jangan mengganggu.

“YB itu bukan Yang Berhormat tetapi Yang Berkhidmat... berkhidmatlah untuk rakyat wahai Sheikh Umar Ali. Jangan marah arrr... Kalau marah meh sini aku jotos,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS