Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak dapat menahan perasaan, air mata Siti Nurhaliza Tarudin tumpah sewaktu melancarkan albumnya yang ke-18, berjudul Manifesta Siti 2020 hari ini.

Menjelaskan emosi dialaminya , Siti berkata, dia sebenarnya gembira kerana tidak menyangka dibenarkan kembali berkumpul dan meraikan lagi majlis seperti hari ini selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan lalu.

"Rasa macam terpisah, lama tak jumpa rakan-rakan sebab duduk rumah.

"Apabila dapat berkumpul dan meraikan hari begini, itu yang buat dada rasa sebak.

"Tambahan pula orang ibaratkan Julai ni macam tahun baru disebabkan pelbagai cabaran kita tempuhi kerana wabak Covid-19," katanya.

Siti ditemui pada majlis pelancaran album solonya itu di The Sphere, Bangsar South, Kuala Lumpur hari ini.

Album itu berisi 11 lagu termasuk sebuah lagu bonus iaitu Anta Permana. Karya berkenaan hadir selepas tiga tahun Siti tidak muncul dengan sebarang buah tangan terbaru.

Antara lagu baru dalam album itu ialah Siapa Tak Mahu, Aku Bidadari Syurgamu, Tertulis Nama Kita dan Kuasa Cintamu.

Harap dapat kelonggaran persembahan

Mengulas lanjut, Siti, 41, berkata dia turut bersimpati dengan mereka yang nasibnya terjejas ekoran pandemik berkenaan.

"Ramai rakyat negara ni mulakan kerja baru atau perlu bermula dari bawah dan saya boleh rasakan macam mana susah keadaan tu.

"Macam saya sendiri, saya perlu kekalkan dua bidang iaitu nyanyian dan perniagaan pada masa sama, justeru besar cabarannya.

"Sepanjang PKP saya sentiasa beri motivasi kepada pekerja-pekerja saya yang terjejas ekoran Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu 7 Nasihat itu tetap bersyukur kerana Malaysia antara negara yang mempunyai usaha terbaik dalam mengekang wabak berkenaan.

Cuma Siti berkata, dia berharap agar penggiat seni suara diberi kelonggaran untuk kembali aktif di pentas seperti dulu.

"Penyanyi antara bidang yang sukar kerana kami belum dibenarkan mengadakan persembahan atau konsert.

"Saya doakan agar suatu hari nanti keadaan akan kembali normal dan penggiat bidang ni boleh bekerja semula tanpa halangan," katanya.

Lihat Komen
ADS