Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas tuduhan rogol selebriti dakwah disiasat kerana kes cabul, seks luar tabii
Diterbitkan:  Nov 30, 2020 8:11 PM
Dikemaskini: Dec 2, 2020 3:43 AM

Sehari sebelum reman ke atasnya tamat, selebriti pendakwah yang dikenali ramai melalui siri realiti televisyen mungkin perlu mendekam dalam lokap polis lebih lama.

Hari ini polis Selangor memberitahu setakat ini pihak berkuasa menerima enam aduan membabitkan selebriti terbabit dengan lima di daerah Shah Alam manakala satu di Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat, berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membabitkan rogol, Seksyen 354 (mencabul) Seksyen 377C (seks luar tabii) dan 323 (menyebabkan kecederaan).

"Suspek akan dipohon untuk direman bagi membantu siasatan kes-kes yang baru diterima," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil juga menyeru mangsa lain - jika ada - agar mereka tidak berasa bimbang untuk tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, memaklumkan satu daripada laporan diterima pihak berkuasa membabitkan seorang guru.

Katanya laporan itu dibuat di Balai Polis Damansara hari ini oleh seorang guru berusia 22 tahun.

Terdahulu Nik Ezanee memberitahu selebriti terbabit disiasat lebih lanjut selepas seorang pelajar kolej tempatan memfailkan laporan kepada polis pada petang 29 Nov.

Individu terbabit - yang berusia 22 tahun - membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya kira-kira jam 3.50 petang tadi.

“Kejadian didakwa berlaku pada 17 Oktober lalu lebih kurang jam 1 pagi apabila mangsa dipelawa suspek ke rumahnya di kawasan Damansara Perdana untuk mengajar mangsa ilmu pemasaran perniagaan.

“Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul dan mangsa turut dipaksa untuk melakukan seks oral,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang mengalami trauma akibat kejadian kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Pada 27 Nov lalu media melaporkan lelaki terbabit - yang sebelum ini menjadi peserta program berkaitan dakwah - ditahan reman selama lima hari kerana disiasat atas tuduhan merogol.

Sebelum itu dia turut membuat laporan polis meminta agar tuduhan yang dilemparkan kepadanya disiasat.

Dia didakwa merogol seseorang yang datang berjumpa bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kemurungan.


Nota Editor: Semua individu yang dituduh melakukan jenayah tidak boleh dikenal pasti dalam laporan media sehingga mereka didakwa di mahkamah, melainkan mereka mengenal pasti dirinya melalui pernyataan awam atau seorang wakil rakyat. Dalam jenayah seksual, media disarankan untuk tidak menamakan tertuduh untuk melindungi identiti mangsa yang terselamat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS