Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Proses mediasi rayuan kes saman Awal, Scha - D'haja 21 Jan

Bernama

Diterbitkan

Proses mediasi bagi menyelesaikan kes saman membabitkan pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya dengan syarikat pembekal tekstil D'Haja (Malaysia) Sdn Bhd yang kini berada di peringkat rayuan, ditetapkan pada 21 Jan ini.

D’Haja memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, yang membenarkan tuntutan saman Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir terhadap syarikat itu berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Peguam Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili D'Haja berkata proses mediasi akan berlangsung menerusi aplikasi Zoom berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula semalam.

"Pihak-pihak telah bersetuju untuk menjalani proses mediasi dengan harapan ia boleh mencapai penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes menerusi dalam talian (e-review) di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar hari ini.

Muzzammil Merican berkata mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 4 Feb ini untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status mediasi itu.

Pada 8 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya pihak yang terlibat dalam kes saman itu menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi.

Rayuan itu difailkan D’Haja pada 3 April 2019 atas alasan Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika membenarkan tuntutan saman pasangan selebriti berkenaan pada 27 Mac 2019.

Pasangan suami isteri itu memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap D’Haja berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000, faedah lima peratus bermula dari dari tarikh pemfailan hingga pembayaran penuh serta kos RM5,000 kepada kedua-dua plaintif.

Mahkamah Sesyen juga membenarkan tuntutan balas difailkan D'Haja serta memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 selepas mendapati pasangan berkenaan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Menerusi saman yang difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha berkata mereka telah menandatangani kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon dengan D’Haja pada 11 Okt 2016 selama dua tahun iaitu hingga 10 Okt 2018.

Bagaimanapun, mereka mendakwa D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan sejumlah 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.