Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) melalui Balai Seni Negara mengambil inisiatif membantu penggiat seni yang terjejas akibat bencana banjir di Pahang baru-baru ini.

Inisiatif Art Hospital yang diperkenalkan ini bertujuan membantu penggiat seni dalam proses konservasi serta rawatan yang khusus dari aspek pemuliharaan karya.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Nancy Shukri, berkata, musibah banjir yang melanda negeri Pahang menjejaskan penggiat seni yang salah seorangnya mengalami 30 karya rosak akibat disaluti lumpur.

“Usaha ini bagi memastikan penggiat seni terjejas dapat kekal berkarya dalam tempoh pemulihan akibat banjir yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan, pelukis Mohaida Aini Mohd pula berkongsi kesedihan apabila rumah peninggalan keluarga yang dijadikan studio serta ruang simpanan koleksi karyanya ditenggelami banjir dan lumpur.

“Usaha untuk menyelamatkan karya tidak dapat dilakukan dan saya kini amat terkesan akibat banjir besar yang melanda di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Koleksi dan Konservasi, Musrizal Mat Isa, berkata, aktiviti konservasi pemulihan bagi karya-karya yang terkesan dijalankan selama lima hari bermula dari 15 hingga 19 Februari lalu.

“Kerja-kerja ini dilakukan di studio pelukis sehingga selesai dan dipindahkan ke studio rakan pelukis yang terletak berhampiran lokasi asal.

“Kerja-kerja adalah melibatkan rawatan cucian secara mekanikal dan cucian basah pada lumpur. Selain itu, kaedah penyimpanan karya juga akan diberikan perhatian khususnya selepas karya-karya ini dibawa ke tempat penyimpanan baru nanti,” katanya.

Tambahnya, aktiviti pemulihan karya selepas sesuatu bencana merupakan tindakan awalan dan akan menjadi satu permulaan untuk aktiviti sokongan sosial bagi pelukis-pelukis lain dalam usaha untuk memperkenalkan Art Hospital kepada para penggiat seni di Malaysia.

“Ia juga diharap dapat menjadi salah satu platform oleh kementerian bagi membantu penggiat seni untuk terus berkarya,” katanya.