Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Saya jual sate, takkanlah saya pakai susuk! Tak kelakar ke?” demikian seloroh penyanyi Ayu Damit yang menyangkal dakwaan dia memakai pemanis wajah itu untuk kelihatan lebih cantik.

Ayu yang menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas malah berasa hairan kerana terdapat segelintir pihak sewenang-wenangnya sanggup menuduh dia mengamalkan perbuatan karut tersebut.

“Orang yang mendakwa saya mengamalkan susuk pasti tidak mengenali siapa saya yang sebenar,” katanya.

Mengikut kepercayaan, susuk dimasukkan ke dalam badan supaya rupa kelihatan manis atau berseri.

Bagaimanapun, antara pantang larang memakai susuk tidak boleh memakan sate.

Ayu ditemui pada sidang media pelancaran koleksi 9 Generasi, rekaan pereka fesyen Azirun Ramly di Sentul, Kuala Lumpur semalam.

Selain Ayu, jenama berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama tiga lagi artis tempatan, iaitu Rykarl Iskandar, Kuza Muzani dan Hafreez Adam.

Sejak kebelakangan ini, nama Ayu mengundang perhatian ramai apabila penampilannya kelihatan ketara berbeza daripada sebelumnya.

Namun, hakikatnya, Juara One In A Milion musim kedua itu sanggup berhabis wang mencecah RM10,000 sebulan demi penampilan menarik.

Ditanya sama ada tindakan undang-undang bakal diambil terhadap pemfitnahnya, pemilik nama penuh Norayu Damit itu berkata: “Tidak.”

Ayu, 32, menjelaskan, setakat ini dia berasa tidak ada keperluan untuk mengambil tindakan terhadap perkara-perkara remeh.

“Masalahnya, pembaca ini suka sangat baca tajuk, tapi tak baca isi cerita sepenuhnya. Pada awal, saya sebenarnya memang tak tahu ada orang tuduh pakai susuk.

"Namun, semuanya berubah apabila semakin banyak pihak memberi respons supaya saya mengambil tindakan kerana ia membabitkan maruah diri," katanya.

Ayu mengulas seorang pengguna media sosial yang melemparkan fitnah terhadapnya berkaitan susuk itu.

“Ada pengirim hantar tangkap layar dan butiran profil pengguna yang menuduh saya pakai susuk. Pada masa sama, pengirim tersebut minta saya saman individu terbabit.

“Saya bukan apa, cuma saya malas nak layan perkara sebegini, lantaklah orang tu nak cakap saya apapun,” katanya.

Mengulas kolaborasinya untuk 9 Generasi, Ayu berkata, ini bukan kali pertama dia menjalin kerjasama dengan Azirun.

Katanya, dia menerima tawaran berkenaan kerana berasakan ia adalah antara cara untuk sentiasa membuatkan peminat terus mengingatinya sebagai penyanyi yang masih aktif dalam industri.

“Apabila saya dimaklumkan dan diajak untuk berniaga, saya fikir mengapa tidak? Ini adalah salah satu punca rezeki pada musim perintah kawalan pergerakan dan Covid-19.

“Dengan adanya projek sebegini, saya dapat tambah duit poket dan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada agen yang terkesan akibat pandemik,” katanya.

Lihat Komen
ADS