Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaki wayang lepas rindu, pawagam kembali operasi
Diterbitkan:  Mar 5, 2021 5:36 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Pembukaan semula pawagam yang kembali dibenarkan beroperasi bermula hari ini, nyata memberi kelegaan kepada para penggemar filem untuk mereka melepaskan rindu menyaksikan tayangan di layar perak.

Dalam tinjauan di sekitar lokasi pusat belah di Melaka, pemandangan peminat filem beratur di kiosk untuk membeli tiket filem baru seperti Don't Look Back, Demon Slayer - Kimetsu No Yaiba The Movie: Mugen Train, Raya and The Last Dragon, kembali mewarnai suasana di kawasan pawagam terpilih.

Rata-rata pengunjung berasa teruja, malah ada dalam kalangan mereka yang membeli tiket secara dalam talian sejak malam semalam, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Salah seorang pengunjung, Najwa Syahirah Zamsari, 21, berkata biarpun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, namun ia dilihat bukan sebagai halangan kepada 'kaki wayang' untuk menonton filem kegemaran mereka.

“Sejak semalam saya telah merancang untuk pergi ke pawagam hari ini dengan kawan baik, kerana sudah lama juga tidak dapat tengok filem baru.

“Bagi saya, apabila kita dapat menonton di layar yang lebih besar dengan kesan bunyi dalam panggung, ia adalah satu kepuasan,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di Melaka, hari ini.

Manakala Nur Fatin Yazid, 21, berkata ini satu peluang untuk menikmati keseronokan menonton di panggung, selepas sekian lama tidak dapat menyaksikan filem baru walaupun perlu mengekalkan penjarakan fizikal.

“Hampir setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas berkuatkuasa, saya belum berkesempatan berkunjung ke pawagam dan hari ini baru datang semula.

“Jika sebelum Covid-19 melanda, hampir saja setiap kali ada keluaran filem baru yang menarik mesti saya akan datang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang petugas pawagam Nur Amalina Rosli, 26, memaklumkan, jumlah penonton yang hadir amat menggalakkan dan pembelian tiket secara dalam talian turut memberangsangkan.

Pembukaan semula operasi itu juga jelasnya satu kelegaan kepada mereka yang berkerja dalam industri tersebut dan sudah pasti mengalu-galukan kehadiran penonton.

“Sememangnya kami sentiasa bersedia di samping, memastikan kebersihan dan keselamatan penonton termasuk membersih dan melakukan sanitasi sebelum dan selepas tayangan di ruang menonton,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS