Selepas 13 tahun menyepi, kumpulan Voices of Euphonious atau lebih dikenali sebagai VE kembali mewarnai dunia seni dengan single baru berjudul Tunggu.

Ketua kumpulan VE, Zafri Nazaruddin atau Zaf berkata, mereka bersyukur kerana impian untuk membuat kemunculan semula menjadi nyata walau terpaksa menempuhi pelbagai halangan, antaranya wabak Covid-19

“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang.

“Tetapi disebabkan kesibukan anggota VE dengan pelbagai komitmen dan penularan wabak menyebabkan hasrat itu beberapa kali tertangguh,” katanya.

Namun kepulangan VE ke pentas seni kali ini tidak disertai tiga anggota asalnya iaitu Damien, Shah dan Lah.

Sebaliknya menurut Zafri, VE2021 diterajui dirinya dan Charma Adizalilullah atau Cham bersama-sama dua anggota baru, Adeep Nahar dan Luqman Hakim.

“Kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu. Kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baru kami,” katanya.

Kata Zafri, mereka memilih Tunggu sebagai judul single terbaru sebagai simbolik penantian kumpulan itu yang mengambil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.

“Lagu Tunggu menceritakan kisah antara anak dan ibu. Kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi,” katanya.

Menurut Zafri, proses menyiapkan lagu berjalan lancar namun mereka mengambil masa sedikit lama untuk latihan memandangkan ia karya pertama VE dengan anggota baru.

“Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video.

“Alhamdulillah proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar. Ini lagu pertama VE dengan barisan anggota yang baru.

“Justeru, kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Bagaimanapun muzik video lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari saja dengan pertolongan Team Osh,” katanya lagi.

Tunggu menawarkan irama mid-tempo dengan unsur old school tetapi tetap diadun dengan citarasa semasa.

Ia masih mengekalkan vokal berharmoni yang menjadi trademark kumpulan yang pernah memenangi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13 tersebut.

Tunggu dihasilkan oleh Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj Pop Shuvit sementara liriknya dihasilkan Mulah, Zaf dan Cham.

Kali terakhir kumpulan itu menerbitkan lagu ialah pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh.

Ditubuhkan pada 1997, VE bukanlah nama baru dalam industri muzik. Namun selepas sedekad bersama, mereka akhirnya membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Tahun lalu, kumpulan yang popular dengan lagu Pop Yeh Yeh, Ayu dan Party Like This ini sepakat membuat keputusan untuk kembali aktif dalam dunia seni.