Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penghargaan buat adiguru seni tradisional, tingkat kelestarian tradisi budaya tempatan
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 10:16 PM
Dikemaskini: 2:16 PM

Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana - dari MyCreative Ventures) dan pertubuhan kebudayaan Pusaka menandatangani memorandum persefahaman (MOU) yang menandakan titik awal usahasama mereka mempertingkatkan kelestarian, keterlihatan dan pemeliharaan para adiguru kesenian tradisional atau mereka yang mengungguli kesenian tradisional di Malaysia.

Antara hasil usahasama itu termasuklah pelancaran Program Adiguru Cendana yang merupakan antara program Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said, berharap usahasama itu akan berkekalan agar ianya menjadi tanda iltizam mereka terhadap masyarakat kreatif tradisional dan tempatan di Malaysia.

“Kami sangat berbesar hati apabila usahasama ini membuahkan hasil bagi memastikan segala perkhidmatan dan perancangan merangkumi para pengamal kreatif kita di luar bandar.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada visi MyCreative Ventures untuk membangunkan Ekonomi Jingga (Orange Economy) negara sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama membangunkan semula ekonomi dalam era selepas pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Adiguru Cendana memfokus untuk menyokong mereka yang secara khusus terlibat dalam bidang seperti tradisi lisan, muzik, tarian, teater, penceritaan, seni rupa dan kraf.

Ia merupakan sebuah program kesenian masyarakat yang bermatlamat untuk:

  1. Menghargai individu atau kumpulan atas kepakaran dan pencapaian seumur hidup dalam memupuk kecemerlangan, daya tahan dan perkembangan kesenian tradisional Malaysia dalam masyarakat mereka;
  2. Memperkuat usaha-usaha adiguru kesenian tradisional dalam memastikan kelestarian amalan seni mereka dalam masyarakat;
  3. Menyokong adiguru kesenian tradisional dalam mengajar seni mereka kepada golongan muda setempat;
  4. Membolehkan para adiguru untuk menyelenggara/menambah baik infrastruktur atau menambah baik kelengkapan lain bagi kesenian tradisional dalam masyarakat setempat;
  5. Membantu meningkatkan penonjolan diri para adiguru bagi menggalakkan lagi penghargaan dan pemahaman; serta
  6. Memudahkan jalinan dan perkongsian antara para adiguru masyarakat mereka, dan pembangunan koridor ekonomi wilayah dan lain-lain lagi.

Adiguru Cendana memulakan panggilan bagi permohonan dan pencalonan sejak 8 April lalu kepada mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam amalan serta penyampaian pelbagai bentuk kesenian tradisional.

Permohonan dan pencalonan akan diadili sebuah jawatankuasa penilai yang terdiri daripada pakar dalam kebudayaan dan kesenian. Adiguru yang terpilih akan diumumkan pada bulan Jun depan.

Dengan memanfaatkan geran sehingga RM30,000, segala kegiatan akan diadakan sepanjang tempoh 12 bulan bermula pada pertengahan bulan Julai ini .

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, usahasama dengan Pusaka akan memastikan usaha itu dijalankan dengan cara terhormat, berpengetahuan, relevan dari segi budaya dan terangkum.

“Sebagai sebuah agensi ekonomi seni budaya, dan sebagai sebahagian daripada masyarakat kesenian, mestilah mengakui sumbangan para adiguru dan mereka yang dari generasi ke generasi mengungguli kesenian tradisional kepada Malaysia, baik untuk masa lalu, sekarang atau masa depan,” katanya.

Pengasas dan Pengarah Pusaka, Eddin Khoo, pula menyambut baik jalinan usahasama itu dan menegaskan usaha melindungi kesenian tradisional dalam masyarakat setempat adalah penting.

“Kesenian tradisional Malaysia adalah wadah bagi ilmu yang mendalam, pandangan dunia, konsep-konsep estetika, dan ingatan bersama masyarakat kita.

"Kesemuanya mengandungi ‘semangat’ kreatif masyarakat kita, dan mencerminkan proses pertemuan kebudayaan yang sudah membentuk pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia.

“Kita perlu mengakui keahlian dan kepintaran masyarakat kesenian tradisional kita, dan agensi seperti Cendana layak menjadi pemudah caranya,” katanya.

Program Adiguru Cendana akan turut menampilkan komponen Program Residensi Penceburan Kontemporari dan Tradisional bagi mengajak pengamal kreatif untuk terlibat dalam program residensi penceburan bersama adiguru daripada Program Adiguru Cendana.

Dengan memupuk usahasama kreatif antara kesenian tradisional dan para pengamal kreatif, pengalaman-pengalaman penceburan itu akan menggalakkan lagi penghargaan terhadap kesenian tradisional dalam kalangan masyarakat dan turut sama merintis jalan-jalan baru bagi penerokaan kreatif dan pembangunan kebudayaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS