Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Tiada ragu buat Michael Ang sumbang RM500 untuk pengikut memerlukan

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 5:23 pagi

“Jika sudah ada niat untuk menderma, kita kena husnuzon (bersangka baik), jadi saya anggap semua yang tampil meminta pertolongan itu jujur,” kata penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang.

Dia mengulas mengenai janjinya untuk memberikan sumbangan sebanyak RM500 seorang kepada 10 orang pengikutnya yang berjaya 'berkurung' di rumah (self lockdown) selama tujuh hari.

Kata Michael, dia memilih secara rawak 10 orang daripada pengikut akaun Instagram (IG) yang meningalkan komen mengesahkan mereka sudah berjaya menyahut cabaran tersebut.

“Memang tak periksa pun profil mahupun IG mereka kerana saya percayakan pengikut-pengikut saya. Saya anggap kalau mereka nak tipu, biarlah itu (diuruskan) di antara mereka dengan Tuhan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Michael lagi tujuannya mahu memberikan sumbangan itu hanya untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan dan pada masa sama menggalakkan pengikutnya kekal di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

“Apabila kerajaan umumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan, saya baca begitu ramai pengikut mengadu yang mereka terjejas.

“Ada antara mereka yang menjadi ibu tunggal disebabkan Covid-19, ada yang terjejas pendapatan dan ada juga yang dibuang kerja, situasi itu mencetuskan idea untuk menawarkan sejumlah bantuan.

“Apa yang saya lakukan sekarang juga membuka mata saya terhadap kepayahan dialami segelintir penduduk negara ini. Keadaan negara yang mungkin sudah menjadi semakin teruk, buatkan saya tampil untuk bantu,” katanya.

Namun, menurut Michael, 45, dia berasa sedih kerana bantuannya itu sebenarnya terhad kerana dapat dihulurkan kepada beberapa orang pengikut saja.

Katanya, dia tidak menjangkakan tawaran itu mengundang perhatian ribuan pengikut yang turut mengalami kesukaran disebabkan PKP.

Menyedari nasib sama turut menimpa kru produksi terutama mereka yang bekerja sebagai karyawan bebas (freelancer) dalam industri hiburan, Michael memperuntukkan sedikit wang sekadar yang termampu untuk golongan itu yang memerlukan.

“Mereka ni kalau tak kerja memang tak ada pendapatan. Kita pun tahu apabila PKP semua penggambaran terpaksa dihentikan. Saya cuba bantu setakat yang boleh,” katanya.

Pengarah drama siri Perempuan Tanpa Dosa itu juga berkata, usahanya tetap akan diteruskan pada masa akan datang selagi wabak Covid-19 belum diatasi dan PKP dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas peningkatan harian kes positif Covid-19 yang belum menunjukkan bilangan akan landai, Michael berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menutup kilang-kilang yang masih dibenarkan untuk terus beroperasi.

Katanya, saranan itu dibuat memandangkan sektor itu banyak menyumbang kepada bilangan kluster tempat kerja.

“Jika boleh, tutuplah semua kilang-kilang tu. Dua minggu saja, tak lama pun. Saya tak fikir jika tutup semua kilang dalam tempoh dua minggu ni boleh terus lumpuhkan ekonomi,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.