Ramai mengenali Datuk Abdul Latif Romly sebagai jaguh lompat jauh paralimpik negara, tetapi tidak ramai tahu perjalanannya bermula bukan di atas trek, sebaliknya di rumah, pada saat keluarganya cuba mencari ruang untuknya berkembang meskipun membesar dengan cabaran pembelajaran sejak kecil. 

Apa yang bermula sebagai usaha kecil ibu bapanya untuk melihat anak mereka gembira dan yakin dengan diri sendiri akhirnya membawa Abdul Latif sejauh podium antarabangsa. Dan hingga kini, semangat yang sama itulah yang terus menggerakkan dirinya untuk melompat lebih jauh. 

Sokongan padu ibu bapanya, Salmah Yatim dan Romly Mat, menjadi tunjang kepada perjalanan beliau sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik dalam mengejar kecemerlangan sukan. 

Daripada situlah minatnya terhadap sukan mula berkembang. 

Membesar dalam serba kesusahan, mungkin tidak ramai menyangka Abdul Latif pada suatu ketika juga dikenali sebagai seorang yang pendiam dan pemalu hingga sukar didekati. Beliau hanya mula membaca dan menulis sekitar usia 15 tahun dan pada peringkat awal masih belum begitu lancar. 

Perjalanan jaguh lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) terbaik dunia itu bermula sewaktu zaman persekolahan sebelum berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dan serius apabila bakatnya mula dikesan oleh guru.

Bersama rakan atlet lain ketika di Rio 2016


Sebelum menjadi jaguh lompat jauh, pemuda yang pernah memasang cita-cita menjadi pegawai polis itu sebenarnya mencuba pelbagai jenis sukan lain semasa di sekolah termasuk bola sepak, bola baling, bola tampar, 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Namun, seorang guru melihat sesuatu yang berbeza pada dirinya lalu mencadangkan agar beliau mencuba lompat jauh. Di sinilah peranan seorang guru menjadi penting. 

Selepas jurulatih menyedari potensinya, beliau dibawa untuk menjalani ujian kecergasan bagi menentukan kelayakannya memasuki Majlis Sukan Negara (MSN) pada Julai 2014. Dari sinilah bermulanya perjalanan beliau sebagai atlet berpotensi tinggi.Tidak lama kemudian, beliau mendapat peluang mewakili Malaysia di pentas terbesar sukan para dunia.

Dalam catatan di Instagram miliknya, Abdul Latif berkata, sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran, dia tidak pernah menganggap keadaan dirinya sebagai satu kekurangan, sebaliknya sentiasa yakin bahawa dia juga mampu mencapai kejayaan.

Pecah rekod dunia di Paralimpik Rio

Kekurangan tidak menghalang Abdul Latif menyerlahkan bakatnya apabila beliau memenangi pingat emas dengan memecahkan rekod dunia lompat jauh kategori T20 sebanyak tiga kali dalam masa sehari pada 11 September di temasya Sukan Paralimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro.

Untuk rekod, Abdul Latif mencatat jarak 7.60m pada lompatan kelima beliau di Stadium Olimpik namun, kemenangan itu bukanlah sesuatu yang mudah buat jagoan negara itu kerana beliau turut mengalami kecederaan pada lompatan tersebut akibat salah mendarat.

Abdul Latif pada penampilan sulung acaranya di Sukan Komanwel Glasgow 2026


Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar setahun sebelum itu.

Langkah kencang Abdul Latif tidak terhenti di Rio apabila beliau memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Paralimpik Musim Panas 2020 yang berlangsung di Tokyo, Jepun. Beliau secara tidak langsung terus mengukuhkan kedudukannya sebagai atlet Malaysia pertama berjaya mempertahankan kejuaraan di pentas berprestij itu.

Dua tahun kemudian, di Sukan Para Asia Jakarta 2018, Abdul Latif sekali lagi mencipta sejarah apabila menghasilkan lompatan 7.64 meter untuk memperbaharui rekod dunia T20 miliknya.

Apa yang menjadikan pencapaian itu lebih menarik ialah rekod tersebut bukan sesuatu yang beliau cipta dan kemudian berhenti kejar. Sepanjang kariernya, beliau terus menolak had diri hingga catatan terbaik dunia T20 miliknya kini mencapai 7.67 meter.

Hingga kini, Abdul Latif tidak pernah berhenti mengumpul emas dan pingat untuk Malaysia. Beliau baru sahaja mencatat penampilan sulungnya di Sukan Komanwel apabila bertanding di Glasgow ketika usianya mencecah 29 tahun pada Julai lalu. 

Acara lompat jauh T20 lelaki itu turut mencipta sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya dipertandingkan dalam edisi Sukan Komanwel Glasgow 2026. 

Di temasya itu, beliau sekali lagi membuktikan dirinya sebagai antara pelompat jauh T20 terbaik dunia apabila memenangi pingat emas dengan lompatan 7.17 meter. 

Pameran Semangat Membara, Untukmu Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, berlangsung hingga 16 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 


Namun, misi untuk memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri, 7.67 meter, tidak kesampaian selepas hujan lebat dan cuaca sejuk menyukarkan saingan tetapi sudah cukup untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang di Glasgow. Beliau yang pada awalnya menyasarkan lompatan 7.80 meter terpaksa mengubah pendekatan dan mengutamakan kemenangan. 

Tahukah anda emas di Glasgow 2026 bukan sekadar satu lagi pingat buat Abdul Latif? 

Ia melengkapkan koleksi kejuaraan antarabangsa yang diburunya selama 12 tahun. Kini, jaguh lompat jauh T20 itu telah mengumpul sekurang-kurangnya 15 emas daripada lima pentas utama seperti dua emas Paralimpik, lima emas dunia, tiga emas Sukan Para Asia, empat emas Sukan Para ASEAN dan satu emas Sukan Komanwel. 

Setiap lompatan mungkin hanya mengambil beberapa saat.Tetapi untuk sampai ke titik itu, beliau membawa bersamanya bertahun-tahun latihan, sokongan keluarga, bimbingan jurulatih dan keberanian dan semangat yang tidak pernah lentur.

Seorang wira tidak dilahirkan dengan mengetahui apa yang mampu dilakukannya. Ada masanya seorang guru, keluarga atau seseorang di sekelilingnya yang terlebih dahulu mengesan potensi tersebut. Dan bagi Abdul Latif, seseorang itulah membantu beliau menemukan minatnya.

Kisah beliau membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang, dengan bimbingan guru yang menemui bakatnya dan semangat juang yang tinggi, seorang anak kampung dari Perlis mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Ingin bertemu wira-wira sukan Malaysia?

Saksikan instalasi awam melalui Semangat Membara, Untukmu Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad hingga 16 September ini sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.